Penunggang motosikal terkedu terima enam saman

Anggota penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas motosikal digunakan remaja yang ditahan dalam sekatan jalan Ops Khas Motosikal JPJ Pahang di Jalan Tanah Putih di sini, malam Khamis lalu. Foto FB JPJ Pahang
Anggota penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas motosikal digunakan remaja yang ditahan dalam sekatan jalan Ops Khas Motosikal JPJ Pahang di Jalan Tanah Putih di sini, malam Khamis lalu. Foto FB JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang penunggang motosikal terkedu apabila 'dihadiahkan' enam saman selepas ditahan dalam sekatan jalan Ops Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Jalan Tanah Putih di sini malam Khamis lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, remaja lelaki berusia 19 itu ditahan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

Menurutnya, cubaan remaja itu berjaya dihalang dan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati penunggang dan motosikal jenis Yamaha Y15 yang digunakan tidak mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

"Kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, gagal pamer nombor pendaftaran depan dan belakang, tiada cermin sisi, menggunakan tayar tidak ikut spesifikasi dan tidak selenggara brek," katanya.

Kamarul Iskandar berkata, enam notis saman JPJ(P)22 dikeluarkan ke atas remaja terbabit manakala motosikal yang digunakan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas pemandu sebuah treler selepas didapati membawa muatan barangan binaan secara berlebihan.

Menurutnya, treler terbabit ditahan dalam operasi bersama Ops Motosikal bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kilometer 9, Jalan Sungai Lembing di sini, Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

"Treler itu dilihat berhenti di bahu jalan secara tiba-tiba dan menghalang lalu lintas.

"Unit Penguatkuasaan Lebih Muatan (UPLM) JPJ Pahang menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan sebelum mendapati ia membawa muatan barangan binaan melebihi had," katanya.

Beliau berkata, kenderaan berat tersebut diarah timbang di bawah Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 57(1)(b)(iv) APAD 2010 dan kes akan dtuduh di mahkamah selepas mendapat izin pihak Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!