PRK Nenggiri: UMNO atur gerak kerja termasuk bertemu Ku Li

Zambry (depan, tengah) bersama perwakilan UMNO Bahagian Dungun pada Sabtu.
Zambry (depan, tengah) bersama perwakilan UMNO Bahagian Dungun pada Sabtu.
A
A
A

DUNGUN - UMNO telah melaksanakan persiapan awal termasuk mengenal pasti calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beberapa pemimpin UMNO turut melakukan pertemuan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan persiapan menghadapi PRK berkenaan.

"Perbincangan awal di peringkat Barisan Nasional (BN) telah diadakan. Kita akan buat persiapan malah semalam Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah adakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh untuk membincangkan persiapan awal bagi hadapi PRK berkenaan.

"Seterusnya langkah mengenal pasti calon. Kita akan bergerak bersama-sama dengan kepimpinan UMNO Bahagian Gua musang.

"Itu paling mustahak kerana DUN itu terletak dalam Parlimen Gua Musang, maka ia jadi tanggungjawab kita untuk adakan perbincangan di peringkat akar umbi dahulu iaitu menerusi kepimpinan UMNO Gua Musang yang dipimpin Tengku Razaleigh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya juga akan memuktamadkan calon yang dikenal pasti untuk bertanding pada PRK berkenaan dalam masa terdekat.

"Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun buat pengumuman tarikh-tarikh (PRK).

Artikel Berkaitan:

"Jadi dalam tempoh terdekat ini kita akan kenal pasti calon yang kita umumkan," ujarnya.

SPR menetapkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal pula 13 Ogos.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!