'Syed Husin Ali teladan unggul seorang patriot' - Takiyuddin
SHAH ALAM - Pas menyifatkan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali, 87, sebagai teladan unggul seorang patriot.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Syed Hussin sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara mengatasi perihal yang lain.
“Pas menerima berita pemergian Dr Syed Husin Ali awal pagi ini dengan hati yang berat dan sedih.
"Kami (Pas) percaya perasaan yang sama turut dikongsi oleh banyak pihak lain atas jasa, sumbangan dan peribadi mulia beliau sepanjang hayatnya baik sebagai ahli akademik, pemikir, aktivis sosial, ahli politik, penulis mahupun seorang kawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi akaun media sosialnya dan turut memberitahu Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak Hari Raya Haji kedua lalu.
Terdahulu, keadaan Allahyarham dilaporkan kritikal dan tidak sedarkan diri.
Perkara itu dikongsikan anaknya, Muhammad Ali yang memaklumkan bahawa keadaan kesihatan ayahnya itu merosot secara tiba-tiba.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas turut menzahirkan ucapan takziah kepada kaum keluarga Allahyarham atas pemergian itu.
“Semoga mereka menemui ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Semoga ALLAH SWT mengampuni, merahmati dan menerima Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang soleh,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!