'Kredibiliti calon lebih penting berbanding ucapan retorik' - Zambry

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
A
A
A

DUNGUN - Pengundi dapat menilai bahawa memilih calon yang memberi khidmat terbaik kepada rakyat adalah lebih penting berbanding naratif menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Bakap sebagai referendum menyatakan perasaan tidak puas hati kepada Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Bakap, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, ini kerana rakyat dapat menilai hasil bakal diterima selepas PRK nanti dan bukannya berlandaskan ucapan retorik yang sering dimainkan pihak lawan semasa kempen.

"Mereka (pihak lawan) menggunakan referendum protes terhadap Kerajaan Perpaduan ini bukan hanya di PRK Sungai Bakap, malah PRK sebelum ini seperti Kuala Kubu Baharu dan Pulai pun gunakan istilah yang sama.

"Tetapi rakyat dapat membezakan antara hanya ucapan-ucapan kempen retorik...rakyat dapat menilai sama ada kalau mengikut cara mereka, retorik dimainkan mereka maka apakah hasilnya nanti setiap kali PRK diadakan.

"Jadi sudah tentu rakyat akan memikirkan bahawa paling mustahak ialah siapakah dalam kalangan calon yang bertanding ini dapat beri khidmat terbaik pada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerjasama baik antara Pakatan Harapan (PH) dan BN sepanjang kempen PRK Sungai Bakap yang kini memasuki minggu kedua juga memberi indikasi baik untuk dinilai rakyat.

"Dari segi kerjasama antara BN dan PH begitu baik sekali. Ini paling mustahak dan tiada masalah dari segi pengurusan bagaimana kerjasama antara kedua belah pihak.

Artikel Berkaitan:

"Ia memberikan indikasi yang baik dalam sebarang kerjasama dalam setiap PRK," jelas beliau.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas, Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili PN dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal, mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.