'Beli air terawat LRA Lubuk Buntar penyelesaian segera'
SUNGAI BAKAP - Penyelesaian segera bagi masalah air Mukim 5, di sini yang telah berlarutan lebih enam tahun sewajarnya melalui rundingan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan air bersih daripada loji rawatan air (LRA) Lubuk Buntar, Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Sungai Bakap, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, penyelesaian segera masalah air di kawasan itu seharusnya menjadi keutamaan demi kesejahteraan dan kebajikan masyarakat tanpa mengira soal perbezaan fahaman politik.
Menurutnya, kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Kedah perlu diutamakan walaupun berbeza haluan politik demi kepentingan rakyat yang terjejas.
“Sementara menanti projek yang direncanakan oleh kerajaan negeri siap, membeli air terawat LRA Lubok Buntar adalah penyelesaian segera yang diharapkan bagi menamatkan penderitaan penduduk selama lebih enam tahun.
“Pihak kami menggesa supaya mereka profesional dalam keputusan diutamakan mengatasi permainan persaingan politik yang merugikan semua pihak,” katanya pada sidang akhbar di Taman Sungai Duri Indah, di sini pada Sabtu.
Khairul Ahmad Fitri berkata lagi, penduduk menyambut baik pengumuman projek jangka panjang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei lalu mengenai pembelian air bersih daripada Perak melalui LRA baharu yang bakal dibina menerusi pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Menurutnya, projek mega RM4 bilion yang turut memberikan manfaat bekalan air kepada penduduk Kerian dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Katanya, walau bagaimanapun projek itu bakal mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan sekali gus menyaksikan penduduk di mukim tersebut akan terus berdepan dengan masalah air.
“Air bersih daripada LRA Lubuk Buntar adalah penyelesaian masalah segera kepada kami sebelum menunggu projek LRA baharu bagi projek pengurusan air di Sungai Perak siap sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang penduduk, Christine Teoh, 56, dari Taman Seruling Emas, di sini berkata, masalah air yang dihadapinya menyebabkan dia tidak dapat membuat rutin harian dengan sempurna seperti memasak dan membasuh pakaian.
“Apabila air tidak ada di rumah, saya terpaksa makan di luar dan kini perbelanjaan pula semakin tinggi.
"Masalah telah berlarutan lebih enam tahun dan pelbagai saluran telah digunakan untuk menyampaikan masalah ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk dari Taman Widuri, Siti Norbaizura Mat Razai, 36, berharap masalah air yang dihadapi mereka akan dapat diselesaikan dengan segera kerana telah beberapa tahun berdepan dengan masalah tersebut.
Pada 8 Jun lalu, media melaporkan Kerajaan Kedah menawarkan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air dari negeri itu sebagai penyelesaian masalah air di Nibong Tebal.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kedah sedia menjual air dari LRA Lubuk Buntar di Bandar Baharu, Kulim yang kedudukannya 16 kilometer dari sempadan Kedah- Pulau Pinang.
Walaubagaimanapun, Kerajaan Pulau Pinang sehari selepas itu menolak tawaran dan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow mengingatkan kembali Muhammad Sanusi agar terlebih dahulu menjaga negerinya yang masih banyak kawasan berdepan masalah bekalan air.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!