Tiada kesalahan jika peniaga hanya terima bayaran tanpa tunai

ASYIKIN ASMIN

Armizan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan lori dan bas daripada sebuah syarikat di Kinarut, Papar.
Armizan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan lori dan bas daripada sebuah syarikat di Kinarut, Papar.
A
A
A

PAPAR - Bukan satu kesalahan jika peniaga tidak menerima pembayaran secara tunai di premis perniagaan mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tiada akta atau undang-undang termasuklah peraturan di bawah KPDN yang menghalang premis perniagaan untuk mengkhususkan transaksi hanya dalam bentuk pembayaran tanpa tunai.

"Jadi maksudnya tiada larangan sekiranya ada peniaga mahu memberi pilihan atau tidak untuk aspek pembayaran di premis masing-masing.

"Kita tahu bahawa 'cashless society' merupakan satu trend global. Bukan hanya di Malaysia tetapi di mana negara di dunia ini menggalakkan transaksi tanpa tunai termasuklah kerajaan juga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penyerahan lori dan bas daripada sebuah syarikat di Kinarut, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nasihat Bank Negara yang meminta orang ramai melaporkan kepada KPDN jika peniaga enggan menerima bayaran secara tunai di premis mereka.

Bagaimanapun Armizan berkata, KPDN terbuka menerima aduan daripada pengguna dengan melihat sekiranya kawasan tertentu atau masyarakatnya masih memerlukan transaksi tunai.

"Kita memahami ada sesetengah pengguna masih belum terbiasa dengan transaksi tanpa tunai termasuklah kawasan-kawasan yang mempunyai masalah dari segi telekomunikasi dan sebagainya.

"Jadi KPDN mengalu-alukan sebarang aduan daripada pengguna dan kita lihat sekiranya ada kawasan tertentu masyarakatnya memerlukan transaksi tunai, maka kita akan mengadakan advokasi rundingan dengan premis perniagaan terlibat.

"Ini supaya mereka boleh mempertimbangkan untuk membuka ruang kepada transaksi tunai, kita tidak lepas tangan dan kita membantu pengguna di kawasan tertentu yang tiada pilihan langsung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armizan memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel membabitkan subsektor tertentu dengan penggunaan fleet card di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, cadangan itu bagaimanapun belum diputuskan walaupun tiada penyasaran subsidi diesel dilaksanakan di Sabah dan Sarawak seperti di Semenanjung ketika ini.

"Jadi kita tengah pertimbangkan dan perhalusi apa juga pendekatan supaya kita dapat tangani isu ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak," katanya.

Bagaimanapun, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan keputusan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel itu bukan disebabkan atas pertimbangan politik tetapi kerana kepentingan rakyat.

"Seperti yang saya katakan bahawa penggunaan diesel di sini (Sabah) tinggi kerana keadaan geografi dan keadaan infrastruktur jalan rayanya.

"Orang Sabah sebahagian besar menggunakan diesel bukan sebab kehendak mereka tetapi keperluan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan keputusan yang telah dibuat kerajaan.

"Kita menyasarkan bajet yang sama pada tahun ini adalah sebanyak RM3.6 bilion untuk penyasaran subsidi diesel Sabah Sarawak.

"Jadi tinggi sebenarnya bantuan daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!