PBM tanding solo PRN Sabah
PENAMPANG - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pihaknya belum memutuskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mana mereka akan bertanding.
"Ahli Majlis Tertinggi sudah membuat keputusan untuk memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak. Kawasan yang akan ditandingi dan siapa calon, ini semua terpulang kepada Ketua PBM Sabah.
"Namun setakat ini, PBM akan berjalan solo tidak bergabung dengan mana-mana pihak sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mana-mana parti," katanya selepas hadir merasmikan pejabat PBM di Donggongon di sini pada Sabtu.
Menurut Larry, keputusan dengan siapa pihaknya akan bergabung hanya akan dimuktamadkan selepas keputusan PRN itu nanti.
"Disebabkan ini kali pertama PBM bertanding, saya rasa lepas kita dapat keputusan baru kita boleh nampak di mana arah PBM Sabah di sini dan siapa yang kita boleh bekerjasama untuk masa depan," katanya.
Ahli Parlimen Julau itu berkata lagi, PBM Sabah ketika ini memfokuskan kawasan luar bandar terutama bagi kawasan didiami masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM).
"Sekarang kita di Sabah mempunyai tujuh bahagian. Saya juga nampak penerimaan dari kawasan luar bandar mendapat respons yang baik.
"Tetapi apa yang penting, mesej kita mesti jelas dan tujuan kita berdiri di Sabah kerana untuk membangunkan Sabah.
"Parti ini juga parti lokal, saya rasa gunakan formula terbaik di Borneo untuk kita selesaikan isu atau masalah di seluruh negara," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!