KPDN Kelantan pasang CCTV di stesen minyak di sempadan secara berperingkat

Azman (belakang, lima dari kanan) bersama pelajar SMK Hamzah 2 yang menjadi juara Pertandingan Rekaan Fesyen Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan 2024 di sini pada Sabtu.
Azman (belakang, lima dari kanan) bersama pelajar SMK Hamzah 2 yang menjadi juara Pertandingan Rekaan Fesyen Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan 2024 di sini pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak akan dilakukan secara berperingkat dalam radius 25 kilometer dari sempadan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pada peringkat pertama sudah ada beberapa senarai daripada kesemua 48 stesen minyak yang berada di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, CCTV berkenaan akan dilengkapi sistem WiFi yang boleh diakses terus ke pejabat KPDN dan hanya memerlukan pemantauan penguat kuasa tanpa hadir ke premis terbabit.

"Kita sudah ada beberapa senarai stesen minyak tetapi tidak akan dilakukan secara serentak kerana perlu ada perbincangan dengan pemilik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Rekaan Fesyen Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan 2024 di sini, pada Sabtu.

Azman memberitahu, fasa pertama pemasangan peralatan tersebut akan bermula tahun ini dan pertemuan dengan pemilik stesen minyak turut dilakukan dalam masa terdekat selepas perbincangan dengan kementerian selesai.

Jelas beliau, paling minimum sebanyak dua CCTV dipasang namun bergantung pada keluasan stesen minyak yang mungkin memerlukan lebih daripada itu.

Setakat ini, kata beliau penerimaan daripada pengusaha stesen minyak sangat menggalakkan dan mendapat kerjasama mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga pemilik stesen minyak yang membuat permohonan untuk pemasangan kemudahan itu dan kita akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan KPDN Kelantan akan memasang CCTV di stesen minyak kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan.

Pemasangan membabitkan stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup.

Sementara itu, Azman memberitahu, Pertandingan Rekaan Fesyen Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan 2024 melibatkan 17 buah sekolah menengah dengan 51 busana yang dihasilkan daripada bahan terbuang.

Tambah beliau, pertandingan bertujuan menerapkan mesej berkaitan isu kepenggunaan membabitkan pelajar.

Johan pertandingan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, Machang manakala tempat kedua oleh SMK Long Ghafar manakala tempat ketiga dimenangi oleh SMK Alor Pasir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!