Beberapa pesawat Agusta A109 LOH dihenti terbang sementara

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PADANG BESAR - [DIKEMAS KINI] Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menghenti terbang sementara operasi beberapa pesawat jenis Agusta A109 LOH, sehingga siasatan mengenal pasti punca kemalangan yang berlaku semalam selesai.

Panglima Tentera Darat Jeneral, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihak TDM tidak mahu mengambil sebarang risiko demi keselamatan anggotanya, sebelum mengetahui faktor kejadian itu berlaku.

"Pengoperasian pesawat (Agusta A109 LOH) yang terdapat di Semenanjung dan Sabah akan henti terbang sementara untuk siasatan...pesawat itu memang digunakan untuk membuat latihan dan operasi.

"Untuk makluman pesawat itu sudah berusia anggaran 19 tahun, kita memang akan pastikan setiap pesawat dalam keadaan yang terbaik sebelum menjalankan latihan dan operasi,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain berkata selepas acara perbarisan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri dekat sini pada Sabtu, yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Semalam, media melaporkan TDM mengesahkan sebuah pesawat M81-11 (Agusta A109 LOH) yang membawa tiga anak kapal, melakukan pendaratan kecemasan pada jam 1.35 pagi hingga menyebabkan tiga anak kapal terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, penuntut kursus dan kru kuatermaster cedera.

Kejadian itu berlaku ketika sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang di Johor.

Muhammad Hafizuddeain berkata, sebelum diterbangkan untuk latihan itu, ia dipastikan berada dalam keadaan selamat apabila proses penyelengaraan juga dilaksanakan secara berterusan daripada segi fizikal dan teknikal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, TDM masih meneruskan pencarian Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang ketika sedang bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) Sarawak pada 18 Jun.

"Hari ini merupakan hari yang ke-11 pencarian TDM dalam operasi mencari dan menyelamat, bukan saja dari teknikal dan profesional kita juga mencari dengan cara tradisional, sehingga hari ini kita sudah mendapat beberapa petunjuk keberadaan anggota itu di kawasan sekitar.

"Namun masih belum ditemukan, kita tetap akan teruskan operasi pencarian dan saya menyeru agar semua rakyat Malaysia mendoakan beliau agar ditemukan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!