6 MP Bersatu nyata pendirian dalam sidang akhbar esok

Dari kiri atas: Syed Abu Husin, Zahari, Mohd Azizi manakala dari kiri bawah, Iskandar Dzulkarnain, Suhaili dan Zulkafperi dijangka mengadakan sidang akhbar khas pada Ahad.
Dari kiri atas: Syed Abu Husin, Zahari, Mohd Azizi manakala dari kiri bawah, Iskandar Dzulkarnain, Suhaili dan Zulkafperi dijangka mengadakan sidang akhbar khas pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilucutkan keahlian mereka dijadualkan mengadakan sidang akhbar khas pada Ahad.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, semua penjelasan mengenai pendirian mereka hanya akan dijawab dalam pertemuan bersama media di satu lokasi di Bangsar Shopping Centre.

"Kita akan memberikan jawapan yang lengkap dalam sidang akhbar kira-kira jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pada Jelajah Hari Terbuka UNISEL 2024 di Padang Astaka, Tanjong Karang di sini, pada Sabtu.

Beliau memberitahu, semua enam Ahli Parlimen terbabit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir.

"Kita hendak jawab segala situasi terkini yang berlaku dan hari ini (Sabtu) saya tidak boleh jawab apa-apa, tunggu esok (Ahad)," ujar beliau.

Sebelum ini, Bersatu menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, tidak berdolak dalih untuk segera mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen.

Bersatu diwakili Naib Presidennya yang juga Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pada Khamis lalu mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Selain Zulkafperi, Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!