King Sing mohon maaf isu cadang Langkawi destinasi pilihan Muslim
SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf berhubung cadangan yang dibuat timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, tiada lokasi pelancongan harus dikhususkan kepada agama tertentu sahaja kerana ia tidak melambangkan identiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
"Saya bertugas di luar negara beberapa hari lalu, dan timbalan menteri (Khairul Firdaus) mungkin tidak menjelaskannya dengan jelas hingga membawa kepada publisiti meluas. Saya telah bercakap mengenai perkara ini dengan beliau.
"Sekali lagi saya memohon maaf berhubung kenyataan yang dibuat ini dan saya harap kita semua dapat bekerjasama untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dengan layanan mesra di setiap negeri nanti," katanya dalam hantaran di Facebok pada Sabtu.
Khairul Firdaus sebelum ini dilapor berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.
Beliau memberi respons tersebut ketika menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai perbezaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (VM2014) dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan pendekatan kementerian menarik pelancong asing untuk melaksana negeri-negeri yang melaksanakan dasar patuh syariah di Dewan Rakyat.
Kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Batu Sapi itu kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak.
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dalam satu kenyataan pada Sabtu menjelaskan penggunaan istilah ‘destinasi mesra Muslim’ dalam mempromosikan negara tidak sesuai digunakan kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, ini kerana istilah berkenaan hanya sesuai digunakan oleh negara bukan Islam.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!