'Saya yakin ayah berada di hutan itu dan masih hidup'

Usaha mencari mangsa masih diteruskan sehingga kini dengan bantuan penduduk kampung, komuniti setempat dan sukarelawan.
Usaha mencari mangsa masih diteruskan sehingga kini dengan bantuan penduduk kampung, komuniti setempat dan sukarelawan.
A
A
A

MANJUNG - Anak kepada lelaki yang hilang ketika mencari siput belitung di Hutan Paya Bakau Sungai Tuntung Pantai Remis di sini yakin bapanya masih hidup walaupun kehilangannya telah memasuki hari ke-12 pada Sabtu.

Kayakinan itu disuarakan Mohamad Noor Azlan Yahya, 28, memandangkan bapanya, Yahya Harun, 56, sudah berpuluh tahun terlibat dalam aktiviti mencari siput selain biasa dengan selok-belok kawasan berkenaan.

"Naluri hati saya dapat rasakan ayah masih berada di hutan itu, cuma tidak tahu di mana kerana kawasan paya bakau ini sangat luas mencecah lebih 1,200 hektar.

"Begitupun saya tidak putus asa dan sehingga ke hari ini pun, saya masih meneruskan operasi mencari dibantu sukarelawan, nelayan dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohamad Noor Azlan berkata, bapanya turun ke hutan paya bakau itu mencari siput pada sebelah pagi, 18 Jun lalu bersama seorang rakan, Azman Mat Jaab, 61, namun sehingga jam 8.30 malam kedua-duanya tidak pulang ke rumah.

Bimbang dengan keadaan itu, dia kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati, kedua-dua motosikal milik mangsa masih berada di kawasan berkenaan.

Kawasan disyaki Yahya dan rakannya, Azman hilang ketika mencari siput belitung sejak 18 Jun lalu.
Kawasan disyaki Yahya dan rakannya, Azman hilang ketika mencari siput belitung sejak 18 Jun lalu.

"Selepas laporan polis dibuat, operasi mencari digerakkan pada keesokannya. Selain pihak berkuasa, ramai yang ikut serta mencari, tetapi kami masih gagal menemui sebarang petunjuk.

Artikel Berkaitan:

"Tiada cebisan baju, kasut mahupun perkakas milik mereka yang ditemui sepanjang operasi pencarian dilakukan, hanya ada jejak kasut sahaja, tetapi tidak membantu menemukan mangsa," katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, sebelum ini pernah berlaku kes sama di kawasan berkenaan, namun mangsa berjaya ditemui selamat selepas dua minggu kehilangannya dilaporkan.

"Saya tak fikir ayah boleh sesat begitu sahaja. Mungkin ada perkara lain menyebabkan dia dan kawannya tidak jumpa jalan keluar," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan bermula 19 Jun lepas.

Operasi turut dibantu khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) itu dihentikan selepas lima hari berikutan tiada petunjuk baharu ditemui.

Usaha mencari kemudiannya diteruskan penduduk kampung, komuniti setempat dan sukarelawan merangkumi kawasan hutan paya bakau dan pesisir pantai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!