Siti Nurhaliza mampu tarik lebih ramai belajar di universiti - Naib Canselor Unisel

Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pelantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced) perlu dilihat dari sudut positif terutama bagi menggalakkan lebih ramai individu menyambung pengajian ke universiti.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kepakaran Siti dalam bidang seninya sangat diakui dan mempunyai pengaruh yang kuat.

"Cara menarik pelajar ini pelbagai, ada (ahli) akademik, profesor kita tarik (kerana kepakarannya), tetapi ada juga dalam bidang kemahiran seperti bidang masakan atau seni suara.

"Saya berpandangan, usaha ini dilakukan bagaimana hendak mendekatkan (universiti) dengan masyarakat," katanya ketika ditemui selepas Jelajah Hari Terbuka Unisel 2024 di Padang Astaka, Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Mohammad Redzuan memberitahu, penyanyi itu mempunyai bakatnya tersendiri dan telah mencipta nama dalam dan luar negara.

"Beliau (Siti Nurhaliza) ada kelebihannya, saya sendiri hormat orang menyanyi kerana mereka ini ingat nada, bukan satu lagu, tetapi boleh menyanyi lebih daripada 10 lagu," ujar beliau.

Mohammad Redzuan (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Jelajah Hari Terbuka Unisel 2024 di Padang Astaka, Tanjong Karang di sini pada Sabtu.
Mohammad Redzuan (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Jelajah Hari Terbuka Unisel 2024 di Padang Astaka, Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat diminta tidak memandang pelantikan itu secara negatif semata-mata, sebaliknya menghargai dan mengiktiraf mereka yang bukan daripada bidang akademik.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tujuannya untuk menyuruh Siti bercakap tentang akademik mungkin tak boleh, tapi kalau bercakap bagaimana menggalakkan pelajar masuk universiti saya yakin dia boleh menarik lebih ramai pelajar," jelasnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai mempersoalkan kewajaran Siti Nurhaliza diangkat sebagai pakar di UMCced untuk tempoh dua tahun selepas institusi itu berkongsi berita gembira itu menerusi media sosial.

Mengulas mengenai program itu, Mohammad Redzuan berkata, jelajah itu diadakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa tentang peluang pembelajaran ke peringkat lebih tinggi yang ditawarkan di Unisel.

Katanya, sebagai sebuah universiti milik kerajaan negeri Selangor, Unisel memberi pelbagai kemudahan antaranya yuran percuma bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian peringkat asasi.

"Mungkin ada dalam kalangan pelajar yang tidak dapat menyambung pengajian peringkat matrikulasi dan asasi di universiti awam, mereka boleh memohon ke Unisel bagi mendapat yuran percuma sepanjang pengajian berjumlah RM12,000 setiap seorang.

"Bagi anak kelahiran Selangor pula, kerajaan negeri memberi sumbangan Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) sebanyak RM500," tambah beliau.