[VIDEO] Lapan tuntutan disuarakan 'Demo Rakyat Lawan Anwar'

A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk mengembalikan semula subsidi diesel antara lapan tuntutan disuarakan pada perhimpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Sabtu.

Tuntutan lain adalah mengembalikan beras putih tempatan (BPT) di pasaran, membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menangani kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, tuntutan lain termasuk menyelamatkan sistem kesihatan negara, memberi peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang, tidak menyekat hak kebebasan bersuara dan mengembalikan kedaulatan ekonomi negara.

Kumpulan baju hitam berkumpul di tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Perdana untuk menyertai perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' pada Sabtu.
Kumpulan baju hitam berkumpul di tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Perdana untuk menyertai perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' pada Sabtu.

Kumpulan baju hitam berkumpul di tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Perdana untuk menyertai perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' pada Sabtu.
Kumpulan baju hitam berkumpul di tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Perdana untuk menyertai perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' pada Sabtu.

Perkara tersebut dikemukakan oleh lapan individu yang mewakili aktivis politik, pempengaruh media sosial, wakil pencarum KWSP dan beberapa pemimpin politik tempatan.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che'gubard; Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sementara itu, penganjur yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus berkata, tempoh 30 hari diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan perhimpunan berkenaan.

Aidil Yunus
Aidil Yunus

“Kita akan bagi masa 30 hari untuk beliau beri maklum balas, selepas itu kita akan turun ke Tambun.

“Kami nak beliau umumkan tindakan yang akan diambil untuk tuntutan yang kami minta dan dari situ ia akan dinilai seterusnya lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

Peserta perhimpunan mula berkumpul di pekarangan Kompleks Seri Perdana seawal jam 3 petang dengan kawalan ketat oleh anggota polis.

Pihak polis juga terpaksa menutup laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri itu serta kawasan sekitarnya selain turut dipasang penghadang.

Media sebelum ini melaporkan perhimpunan dinamakan 'Demo Rakyat Lawan Anwar', tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik lokasi berhimpun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis sudah menasihatkan penganjur tidak meneruskan perhimpunan dijadualkan di tempat letak kereta awam berhadapan Kompleks Seri Perdana, pada jam 4 petang itu kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!