'Tukar PM bukan macam tukar pemandu bas'

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Proses peralihan kuasa Perdana Menteri bukan perkara mudah seperti menukar pemandu bas kerana ia perlu berlandaskan ajaran Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam menggariskan peraturan tertentu dalam melaksanakan peralihan kuasa mengikut syarat dan rukun iaitu niat kerana ALLAH SWT, lafaz ijab dan kabul, lokasi dan masa perjanjian itu dibuat serta menjaga Maqasid Syariah.

“Kita tidak boleh anggap kepimpinan negara macam tukar pemandu bas.

"Kalau kita mahu ke Kuala Lumpur kena tukar pemandu ke Kuala Lumpur juga, bukan pemandu ke destinasi lain nanti tidak sampai tujuan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu melihat janji penyerahan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengikut syarat Islam kerana tiada maklumat jelas tentang perjanjian tersebut.

“Perjanjian dalam Islam tidak boleh dibuat dengan mudah. Ada syarat, ada rukun dia, tidak boleh janji serah kuasa begitu saja, janji lantik orang ini orang itu jadi Perdana Menteri. Kita orang Islam kena ikut hukum Islam.

“Rukun dalam Islam pertama niat ikhlas kerana ALLAH SWT, ada ijab dan kabul sebagai lafaz serah dan terima kuasa, perkara dijanji iaitu tempat dan masa (tapi) ini tiada, kosong.

“Kalau kosong dan tidak cukup syarat, dari segi Islam itu bukan janji tapi cakap-cakap atas wakaf saja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila selepas menyampaikan kuliah mingguan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyifatkan pihak yang menuduh Dr Mahathir berbohong apabila tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar sebagai bebal kerana tidak memahami perjanjian dibuat tidak mengikut syarat.

Ditanya sama ada Parlimen harus dibubar bagi menyelesaikan isu peralihan kuasa tersebut, Abdul Hadi berkata, itu terpulang kepada kerajaan yang mempunyai kuasa majoriti sekarang untuk membuat keputusan.

“Itu terpulang kepada mereka yang dapat kuasa majoriti sekarang, namun saya harap ia tidak menyusahkan rakyat dan prosesnya berlaku dengan betul dari segi undang-undang, perlembagaan dan demokrasi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!