Lelaki ditahan menyamar polis, larikan wang tunai RM600

Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan reman kerana menyamar sebagai polis. Foto hiasan
Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan reman kerana menyamar sebagai polis. Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan kes menyamar sebagai polis di sebuah premis sarang burung dan melarikan wang tunai bernilai RM600 milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Mazlan Mamat berkata, polis menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang pengawal keselamatan kira-kira jam 2 pagi Jumaat.

Menurut beliau, mangsa berusia 75 tahun sedang bekerja di Jalan Ah Sang, Kuala Krai didatangi seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis.

"Lelaki warga tempatan itu kemudian mahu membuat pemeriksaan ke atas mangsa kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan beg silang untuk tujuan pemeriksaan, namun dia mengambil wang tunai milik mangsa.

"Suspek juga mengarahkan mangsa untuk mengambil sebuah motosikal di bahagian belakang kedai untuk mengikutnya pergi ke balai polis bagi membuat laporan polis," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, mangsa mendapati suspek tiba-tiba menghilangkan diri sebelum bertindak membuat laporan polis.

"Suspek ditahan pada hari yang sama kira-kira jam 1 petang di hadapan sebuah rumah kedai di lokasi sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, suspek direman empat hari bermula Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!