MOTAC salur RM4.9 juta laksana program seni budaya di Perak

Mohd Yusri (depan, kiri) bersama tetamu jemputan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Temasya Budaya@negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong pada Sabtu.
Mohd Yusri (depan, kiri) bersama tetamu jemputan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Temasya Budaya@negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong pada Sabtu.
A
A
A

TELUK INTAN - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan sejumlah RM4.9 juta bagi pelaksanaan program seni budaya di Perak sejak tahun 2022 sehingga kini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, peruntukan tersebut diberikan melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan yang diperkenalkan kementerian pada tahun 2022.

Menurutnya, sehingga Jun 2024, sebanyak 62 persatuan dan syarikat seni menerima insentif berkenaan bagi pelaksanaan program seni budaya di Perak.

"MOTAC sentiasa membantu NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seni budaya dan syarikat seni di negeri ini untuk terus bergerak melaksanakan aktiviti-aktiviti menyemarak dan merakyatkan seni dan budaya.

"Bersekali dengan sambutan Tahun Melawat Perak 2024, MOTAC sentiasa mengalu-alukan dan turut sama membantu pelaksanaan program di peringkat negeri bagi memeriahkan aktiviti seni budaya tempatan dan secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada aktiviti pelancongan setempat," katanya ketika berucap pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Temasya Budaya@negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong di sini.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, Temasya Budaya@Negeri Perak yang dianjurkan itu merupakan salah satu daripada 15 program pelancongan budaya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di seluruh negara.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan juga memperlihatkan kerjasama erat antara agensi persekutuan, negeri dan NGO seni budaya di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sokongan penuh dari kerajaan negeri juga dilihat membantu dalam usaha memelihara dan memulihara kepelbagaian seni, budaya dan warisan negara bagi memastikan kesinambungan, keunikan serta keaslian yang diwarisi terus terpelihara.

Temasya Budaya@Negeri Perak 2024 berlangsung sejak 27 hingga 30 Jun dengan menampilkan pelbagai aktiviti dan pengisian.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Festival Homestay Perak, Klinik Seni Budaya, Busana Run, Pertandingan Serikandi Puteri Perak, Pertandingan Gendang Urumi, Demonstrasi Adat Berjojak dan sebagainya.

Dalam pada itu ketika sidang media Mohd Yusri mengalu-alukan sebarang permohonan daripada mana-mana NGO atau syarikat yang ingin mendapatkan dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan itu.

Katanya, sehingga kini lebih 800 permohonan diterima bagi penganjuran pelbagai program berkaitan seni dan budaya di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!