Sukan bina badan selari gaya hidup, disiplin PDRM - KPN

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Penganjuran acara sukan bina badan dilihat selari dengan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa ini yang mengutamakan disiplin dan gaya hidup sihat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, ia berikutan penggiat acara berkenaan terikat dengan amalan disiplin ketat meliputi seluruh aspek kehidupan khususnya pemakanan, latihan dan mental yang kental sekali gus bertepatan dengan imej PDRM yang berkarisma.

"Keterampilan yang kemas juga mampu membina keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti warga PDRM untuk memberikan perkhidmatan berkesan dalam mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Mr Police & Mr Pahang 2024 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Kejohanan berkenaan dianjur dan dikelolakan Majlis Sukan PDRM serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Razarudin berkata, sukan bina badan sememangnya tidak asing dengan PDRM dan beliau begitu berbangga atas kejayaan atlet bina badan yang telah banyak mengharumkan nama pasukan serta negara di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Kecemerlangan Datuk Sazali Samad di arena sukan bina badan bergemerlapan di Sukan SEA, Kejohanan Mr Asia, Mr World Universe, World Police and Fire Games serta dianugerahkan Olahragawan kebangsaan sebanyak empat kali.

"Saya yakin kegemilangan beliau pastinya menjadi pencetus semangat dan penanda aras kepada bakat-bakat baharu untuk menetapkan sasaran yang ingin dicapai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Razarudin, penganjuran kejohanan sukan seumpama itu dilihat mampu meningkatkan kualiti pembangunan sukan PDRM dalam usaha mencungkil bakat baharu.

Beliau turut menasihati warga polis yang terlibat dengan sukan berkenaan supaya tidak terjebak sebarang penyalahgunaan bahan terlarang yang boleh merosakkan diri dan merugikan bakat diberikan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!