Himpunan tidak jejaskan kempen PRK Sungai Bakap - Saifuddin

Saifuddin Nasution. Foto Bernama
Saifuddin Nasution. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Penganjuran himpunan 'Rakyat Tolak Anwar' di Putrajaya pada Sabtu tidak akan menjejaskan ‘mood’ kempen jentera Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, himpunan itu membuktikan bahawa Malaysia adalah negara yang menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman serta menegur dan mengkritik pemerintah.

Beliau berkata, ia juga memberikan gambaran bahawa sesiapa pun berpeluang untuk bersuara tanpa diganggu-gugat.

"Kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan Malaysia di bawah teraju (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendekatan Madani membuka (peluang) atau menghormati hak setiap rakyat, walaupun beliau dimaki hamun,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Bakap di sini malam Sabtu.

Petang tadi, kira-kira 250 peserta berbaju hitam berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut subsidi diesel dikembalikan serta tidak menaikkan harga petrol RON95 dan gas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.