Malaysia, Indonesia tentukan juara
EMAS atau perak, itu sahaja pilihan yang tinggal buat skuad futsal negara selepas menyingkirkan juara bertahan Thailand 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 4-4 dalam aksi separuh akhir temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 pada Sabtu.
Kemenangan diraih skuad kendalian Addy Shairullyzam ke atas skuad Gajah Perang asuhan Phakawat Panpob di Gelora Olahraga Rakyat (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya (UNESA) sekaligus memperbaiki pencapaian ketiga edisi Ubon Ratchathani 2022, Thailand.
Pada aksi separuh akhir itu, Malaysia dipaksa beraksi dalam penentuan penalti selepas Sattawat Suntorn meledak jaringan penyamaan empat minit setelah Muhammad Syarifuddin Md Akhir meletak skuad negara memimpin perlawanan minit ke-34.
"Sejujurnya anak buah saya berdepan pelbagai cabaran sebelum turun berdepan Thailand namun mereka berjaya menunjukkan persembahan yang terbaik apatah lagi menentang pasukan yang menjulang banyak kejuaraan di AUG.
"Kita tidak cukup rehat seperti Thailand yang ada rehat sehari. Kita agak kepenatan kerana baru beraksi Jumaat dan kita turun untuk aksi pada Sabtu.
"Seorang pemain kita pun, Muhammad Bukhari Samsudin mengalami keracunan makanan dan tidak dapat beraksi semalam. Tetapi selepas mendapat rawatan dan beberapa botol air dimasukkan, dia dapat beraksi hari ini," ujarnya.
Malaysia akan berdepan tuan rumah Indonesia di pentas perlawanan akhir selepas pasukan pilihan itu membelasah Timor Leste, 6-1.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!