Kekurangan buku kajian sastera
KAJIAN sastera terletak dalam sebuah korpus atau epistemologi sastera. Ia adalah hasil daripada sesebuah penyelidikan atau penelitian.
Dalam korpus atau epistemologi sastera ini termasuk kajian terhadap sejarah sastera, kajian teks, penulisan esei sastera, kritikan dan teori sastera.
Secara khusus ia dikerjakan oleh seseorang akademia sastera. Biasanya seorang penyelidik itu mendapat geran atau mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
Dalam konteks ini, hasil sesebuah penulisan akademik pelajar seperti latihan ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran juga termasuk dalam konteks kajian sastera.
Kajian sastera adalah sebuah bidang keilmuan yang mempunyai disiplin, pendekatan, teori dan metodologinya yang tersendiri. Kajian selalu diakrabkan dengan suatu lagi istilah yang ikonik dengannya iaitu penelitian.
Terdapat berbagai-bagai pendapat tentang definisi dan bidang kajian ini, sesuai dengan ilmu sastera itu sendiri terdedah kepada perbincangan, polemik dan penelitian.
Baharuddin Zainal, misalnya tidak membezakan antara penyelidikan sastera dengan kajian sastera. Sasterawan Negara ini berpendapat penyelidikan sastera termasuk dalam kajian sastera.
Dalam huraiannya kajian adalah kegiatan yang pada pokoknya mahu mencari keseluruhan erti dan kepentingan kesusasteraan dengan menganalisis, mentafsir dan menilai hasil sastera.
Usaha ini biasanya dibuat secara memerhati berbagai-bagai institusi kesusasteraan seperti pengarang, tekstual, khalayak dan kontekstualnya dengan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsipnya.
Penyelidikan untuk mendapatkan bahannya daripada pelbagai sumber, keterangan dan fakta, dengan melakukan kajian perpustakaan atau kajian kerja lapangan atau kedua-duanya sekali.
Tegasnya, usaha penyelidikan sebagai permulaan bagi menjalankan sesebuah kajian.
Dengan perkataan lain, sesebuah kajian itu haruslah dilakukan penyelidikan dan penelitian. Antara subjek yang sering menggoda sesebuah penyelidikan ialah fenomena atau gejala baharu yang terjadi atau tercetus dalam masyarakat sastera.
Permasalahan ini adalah yang dasar, seperti wujudnya keghairahan berkarya tetapi kekurangan karya bermutu, banyaknya karya dicetak tetapi kurang pemasarannya atau masyarakat yang kian hari tidak mempedulikan sastera, dan akhirnya tamadun sastera itu sendiri kian menipis.
Penyelidikan dilakukan untuk mendapatkan jawapan atau penyelesaian bagai menghadapi permasalahan yang dasar itu.
Tidak rigid
Sebuah kajian apabila dibukukan, ia mempunyai organisasi dan strukturnya. Dimulai dengan pengenalan dan definisi permasalahan. Masuk kepada wacananya dengan analisis dan penghujahannya.
Diakhiri dengan tanggapan, rumusan dan kesimpulan. Organisasi ini tidak rigid, terbentur pada subjek dan wacananya.
Kajian itu tidak sahaja akademik dan ilmiah dengan rujukan dan bibliografinya, tetapi terhidang dengan teknik penulisan yang tersusun, sistematis dan menarik.
Sesungguhnya sebuah kajian sastera ialah rangkaian pekerjaan penyelidikan, pengumpulan data dan memerlukan suatu analisis untuk memberi segala eksposisi dan informasi intelektual, membahaskan secara rasional, berteraskan sebab musabab akademik, berhujah dengan tepat dan memperoleh suatu hasilan atau dapatan.
Pengkaji sastera kita yang paling rajin ialah Muhammad Haji Salleh yang telah menerbitkan tidak kurang 30 buah penelitian, terutamanya yang berhubung dengan sastera klasik. Diikuti oleh Jelani Harun, Md Salleh Yaapar, Mohd Mokhtar Hassan, Azhar Ahmad dan Hashim Ismail.
Penulisan esei dan kritikan sastera juga termasuk dalam kategori kajian, justeru ia menuntut penyelidikan dan penulisan ilmiah. Kedua-dua genre kajian ini mempunyai disiplin dan mekanisme yang berbeza.
Esei sastera ialah sebuah penulisan yang membincangkan atau mewacanakan tentang sastera yang bertolak pada sesuatu subjek atau pemikiran, juga isu-isu tertentu yang dibincangkan pengkaji bagi menemukan sesuatu penemuan atau dapatan.
Dengan sekurang-kurangnya memiliki sesuatu persoalan dan akan dianalisis atau diinterpretasi. Tidak kurang juga sebuah esei cuba membincangkan sesuatu persoalan atau permasalahan dan cuba menyelesaikannya.
Sebagai contoh kajian itu menyentuh tentang sejarah sastera, kehidupan pengarang, proses kreatif, pandangan untuk mempertingkat khalayak sastera dan sebagainya.
Penghargaan
Pendeknya apa sahaja subjek, pembicaraan, huraian atau penganalisisan terhadap kehidupan sastera dapat diterima sebagai esei.
Terutama di peringkat universiti dan yayasan tinggi, definisi esei sastera ialah apa sahaja kajian mengenai sastera sama ada yang berhubung dengan sejarah sastera, teori, kritikan, sastera bandingan, proses kreatif dan sebagainya yang ditulis dalam satu rangka tertentu, penuh dengan catatan atau nota kaki dan menggunakan rujukan atau bibliografi yang sifatnya akademik atau ilmiah.
Dapatlah dirumuskan bahawa esei dianggap sebagai ilmiah atau separuh ilmiah. Ini membezakannya dengan rencana yang ditulis bagi tujuan laporan, pemberitaan atau pembicaraan secara impresionistik dan lebih menekankan aspek sensasi dan kekaguman pembacaan.
Kritikan sastera pula sebagai korpus ilmu sastera, berfokus kepada aspek pembacaan, penikmatan, penghayatan, penganalisisan dan penilaian terhadap teks-teks sastera. Kritikan sastera ialah mengkaji, menilai dan menginterpretasikan teks sastera.
Tegasnya ia adalah suatu aktiviti yang berhubung dengan proses penghayatan, penganalisisan dan penilaian terhadap sesebuah karya kreatif baik novel, cerpen, sajak atau drama.
Justeru itu kritikan sastera adalah suatu kegiatan untuk menjelaskan, menilai dan menyampaikan penerimaan dan tanggapan seseorang terhadap sesebuah karya.
Kritikan sastera juga suatu percubaan untuk memberi penghargaan kepada karya-karya sastera, secara melahirkan penilaian yang bijaksana, iaitu menentukan sejumlah manakah dan atas alasan-alasan apakah sesebuah kaya sastera dapat diterima sebagai hasil ciptaan yang baik atau tidak.
Penulisan teori sastera pula bermula dengan penelitian, interpretasi dan penguasaan yang tepat dan bersignifikasi terhadap sesebuah teori itu.
Bacaannya luas, mendalam dan huraiannya jelas, tidak skeptikal dan tidak dikuasai sebarang prasangka dan aporia. Wacananya lebih sukar, berat dan serius daripada menulis esei atau kritikan.
Semua penulisan kajian seperti esei, kritikan dan teori sastera itu dapat dikumpulkan dan diterbitkan dalam sebuah buku. Ia akan dapat memperkaya buku kajian sastera.
Di pasaran buku kajian sastera agak kurang. Apatah lagi, buku teori sastera yang sangat jarang dan langka penerbitannya, semacam tidak ada penerbit yang bertanggungjawab menerbitkannya. Buku kajian sastera harus diusahakan, terutamanya oleh penerbit yang besar.
Tentu sahaja berhadapan dengan kesukaran, kesulitan dan kerumitan, tetapi tidak ada alasan untuk tidak menerbitkan buku kajian sastera itu. Buku kajian sastera adalah bayangan warna tamadun bangsa.
Justeru itu kajian sastera adalah ikonik kepada intelektual, dan indeksikal kepada pencapaian para akademia dan cendekiawan sastera kita.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!