Bayi 18 bulan hidap kanser teratoma
SHAH ALAM - Luluh hati seorang ibu apabila mendapat perkhabaran bahawa anak keduanya yang baharu berusia 18 bulan disahkan menghidap kanser Cyst Immature Teratoma.
Nur Syarina Dollah @ Mohd Din, 26, berkata, anak perempuannya, Khaleefa Khadeeja Borhanudin telah disahkan menghidap penyakit tersebut selepas menjalani beberapa rawatan di salah sebuah hospital di Terengganu.
“Pada pagi 22 September tahun lalu, saya dapati muka anak saya yang baharu berusia 8 bulan ketika itu bengkak, naik kemerahan dan dia sentiasa menangis. Mungkin kerana rasa gatal atau tidak selesa, jadi saya bawa ke hospital pada malam tersebut.
“Doktor yang memeriksa kata hanya ruam biasa dan berikan ubat sapu sahaja. Saya balik dan sapu ubat tersebut seperti yang doktor nasihatkan tetapi saya dapati ubat berkenaan buat anak saya melecur dan semakin teruk.
“Keesokannya saya ke hospital lagi untuk dapatkan rawatan. Selama 10 hari ditahan wad, keadaan Khadeeja beransur-ansur pulih,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Nur Syarina, beberapa hari selepas dibenarkan pulang, anaknya itu demam menyebabkan dia terpaksa pergi ke hospital semula untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, doktor membuat beberapa ujian seperti X-Ray, imbasan Tomografi Berkomputer (CT) serta Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan hasil keputusan menunjukkan terdapat kelenjar di dada kanan anaknya itu.
“Doktor rujuk saya ke hospital lain di Terengganu. Pakar onkologi tersebut mengesahkan ia cyst dan perlu melakukan pembedahan pada 27 November lalu.
“Tetapi saya terkejut apabila dimaklumkan pada 23 Disember yang keputusan sampel cyst mempunyai sel kanser sebanyak 5 peratus menyebabkan anak saya terpaksa menggunakan kaedah kemoterapi,” ujarnya.
Tambah Nur Syarina, kini anaknya itu sedang dalam proses pemulihan dan masih dipantau oleh doktor melalui temu janji oleh pakar di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, dia turut menasihati kepada ibu bapa agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mendapati anak-anak menunjukkan simptom atau tanda-tanda kurang sihat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!