PRK Sungai Bakap: Calon PH lancar iltizam

Joohari ketika melancarkan Iltizam Cikgu Joohari di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Sabtu.
Joohari ketika melancarkan Iltizam Cikgu Joohari di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin melancarkan iltizamnya (manifesto) pada Sabtu.

Iltizam Joohari yang lebih mesra disapa Cikgu Joohari ialah mengetengahkan pendekatan 'PADU' menggunakan misi Sungai Bakap maju, inklusif dan harmoni.

Menurutnya, PADU mempunyai maksud dan nilai tersendiri untuk direalisasikan sekiranya beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap dalam PRK nanti.

“PADU adalah dari perkataan 'perPADUan' di mana P untuk prasarana dan progresif bagi memastikan kemudahan awam dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan penduduk.

"A adalah menerusi penekanan akhlak, akademik dan anak muda bagi meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik anak muda," katanya ketika melancarkan Iltizam Cikgu Joohari di Simpang Ampat di sini pada Sabtu.

Selain itu, huruf D berkisarkan tentang damai, manakala U yang bermaksud Untuk semua di mana akan memastikan semua pengundi di kawasan Sungai Bakap dilayan secara adil.

"Jadi kempen yang berbaki lagi kira-kira enam hari ini, saya akan jelaskan iltizam tersebut.

"Saya nak yakinkan bahawa perkara tersebut bukan suatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Joohari bakal berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dalam pertandingan dua penjuru bagi kerusi N20 PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Kerusi berkenaan dipertandingkan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai depan bagi PRK DUN Sungai Bakap.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.