Azzurri belum cukup mantap di Jerman 2024

Reaksi Spalletti pada penghujung perlawanan selepas itali dijinakkan Switzerland pada pusingan 16 Euro Jerman 2024 di Olympiastadion Berlin, Berlin FOTO: AFP
Reaksi Spalletti pada penghujung perlawanan selepas itali dijinakkan Switzerland pada pusingan 16 Euro Jerman 2024 di Olympiastadion Berlin, Berlin FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Itali, Luciano Spalletti mengambil tanggungjawab sepenuhnya berikutan penyingkiran penyandang juara Euro itu pada pusingan 16 kalah mati selepas tewas 0-2 kepada Switzerland di Olympiastadion, Berlin.

Namun bekas pengendali Napoli berusia 65 tahun itu juga mengakui tidak mempunyai cukup perlawanan bagi memantapkan Gli Azzurri sekali gus menyaksikan penyingkiran pertama sebelum peringkat suku akhir Euro dalam tempoh 20 tahun.

"Saya mengambil tanggungjawab ini. Kami gagal kerana pemilihan pemain dalam proses pembentukan pasukan, pasukan ini tidak bergantung kepada individu sebaliknya semangat pasukan.

“Pemain-pemain tidak mempunyai fizikal untuk menentang pasukan Switzerland," kata Spalletti pada sidang media selepas perlawanan.

Jelas Spalletti, dia juga tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengenali pasukan tersebut dengan lebih dekat.

Semua pengendali lain mempunyai 30 atau lebih perlawanan dengan pasukan mereka sebelum kejohanan bermula, katanya sambil menambah: “Saya hanya mempunyai 10 perlawanan.”

Gol jaringan Remo Freuler minit ke-37 separuh masa pertama diikuti sentuhan Ruben Vargas minit ke-46 membolehkan angkatan Murat Yakin menyingkirkan Gli Azzurri dari Euro Jerman 2024.

Sebagai rekod, Spalletti dilantik sebagai pengendali skuad bola sepak Itali pada Ogos 2023, selepas peletakan jawatan Roberto Mancini.

Artikel Berkaitan:

Dia melakukan enam perubahan terhadap kesebelasan utamanya menentang Switzerland, bagi menjana tenaga dan kreativiti.

Namun sebaliknya mereka gagal menampilkan semangat sebagai unit berpasukan selain percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.