Jurulatih Denmark salahkan VAR
PENGENDALI Denmark, Kasper Hjulmand mempertikaikan keputusan video bantuan pengadil (VAR) ketika pasukan itu tewas 0-2 kepada Jerman pada aksi Euro 2024 pada awal pagi Ahad.
“Ia telah diputuskan oleh dua keputusan VAR,” kata Hjulmand kepada pemberita selepas perlawanan pusingan 16 terakhir di Dortmund, yang dimenangi Jerman hasil sepakan penalti Kai Havertz pada awal separuh masa kedua dan jaringan Jamal Musiala.
Denmark menyangka mereka berada di depan sejurus selepas separuh masa apabila Joachim Andersen menjaringkan gol, tetapi ia dibatalkan berikutan semakan VAR yang menunjukkan Thomas Delaney ofsaid sebelum gol itu terhasil.
Apabila permainan dimulakan semula, Jerman segera menyerang dan hantaran silang David Raum terkena lengan pertahanan Crystal Palace Andersen di dalam kotak Denmark.
Insiden itu melalui semakan VAR dan pemberian penalti yang disempurnakan Havertz.
"Saya ada gambar di sini, ia adalah satu sentimeter," Hjulmand mempertikaikan tentang keputusan ofsaid terhadap Andersen sambil menunjukkan gambar di telefonnya.
“Apabila sesuatu keputusan itu betul ia sepatutnya boleh dilihat dengan jelas dan tidak boleh bergantung kepada beberapa sentimeter.
"Dari segi statistik dan data, ia tidak masuk akal. Ia bukan bagaimana kita sepatutnya menggunakan VAR. Ia adalah satu sentimeter.
"Satu minit kemudian ada penalti. Saya sangat kecewa dengan peraturan bola terkena tangan yang tidak masuk akal, kita tidak boleh meminta pemain pertahanan berlari tanpa tangan mereka.
"Joachim berlari dengan normal dan ia situasi biasa. Saya jarang bercakap tentang perkara ini tetapi ia memberikan kesan kepada perlawanan ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!