[VIDEO] Isu air Sungai Bakap: Apa Tuan Ibrahim buat masa jadi Menteri Air?

A
A
A

SUNGAI BAKAP - Masalah air yang menjadi isu kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap terus hangat apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan apa yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) semasa mentadbir negara selama 33 bulan.

Menurutnya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika itu menjawat tugas Menteri Air dan Alam Sekitar seharusnya lebih tahu dan tidak mengabaikan masalah berkenaan di Sungai Bakap.

Rafizi. Foto Bernama
Rafizi. Foto Bernama

"Cuba kita tanya yang menjadi menteri air dulu ini siapa? Bukan Pakatan Harapan (PH), bukan Barisan Nasional (BN), bukan kita daripada kerajaan Madani.

"Menteri air ini Tuan Ibrahim Tuan Man, jadi kalau kita tahu yang Sungai Bakap ini yang dijadikan isu suruh lawan kerajaan kerana calon kita kononnya masalah air tak diselesaikan, itu masalah engkaulah dulu kau menteri air.

"Sebab sekarang kita tahu seperti diumumkan berkali-kali masalah air di Sungai Bakap sahaja," katanya semasa berucap semasa berkempen di Kampung Padang lalang, Simpang Ampat, malam Sabtu.

Hadir sama pada program tersebut adalah calon PH, Dr Joohari Ariffin, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Rafizi (empat kanan) semasa turun berceramah bersama pimpinan PH lain di Kampung Padang lalang, Simpang Ampat, malam Sabtu.
Rafizi (empat kanan) semasa turun berceramah bersama pimpinan PH lain di Kampung Padang lalang, Simpang Ampat, malam Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, masalah air bukan sahaja berlaku di Sungai Bakap sahaja namun ia turut melibatkan masalah di Utara Semenanjung.

Menurutnya, pertambahan penduduk dan bilangan kilang menyaksikan antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan berkenaan.

"Apabila orang makin banyak, sungai sebanyak itu saja. Mana ada sungai beranak, semakin lama semakin cetek dan mendap, memanglah kebiasaannya mana-mana kalau orang semakin ramai, sungai makin cetek air kurang, tambah pula cuaca semakin panas.

"Jadi isunya semasa kita jadi pembangkang memang kita tak tahu, bukan kerja aku. Semasa itu kita duduk kejar segala yang rasuah semua ini, yang bertanggungjawab merancang dan yang ada maklumat adalah Tuan Ibrahim Tuan Man," ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah awal dengan melihat secara keseluruhan masalah air yang berlaku di seluruh negara.

"Tak sampai satu tahun kerajaan Madani ambil alih tanpa ada PRK Sungai Bakap pun, Anwar Ibrahim suruh, jadi saya kena ikut.

"Ini dah berlaku lama dah saya ingat awal tahun lagi semasa kita melihat keseluruhan masalah air di Malaysia, yang bising di Kelantan pun kita sedang selesaikan, yang tak bising sangat di utara tapi berlaku pun kita dah buat peruntukan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!