Kedah rekod pelaburan tertinggi RM28.7 bilion

Sanusi merafak sembah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Foto: Pejabat SUK Kedah
Sanusi merafak sembah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Foto: Pejabat SUK Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah merekodkan jumlah pelaburan antara yang tertinggi dalam negara berjumlah RM28.7 bilion pada 2023.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, prestasi ekonomi Kedah pada tahun 2022 berada pada tahap memberangsangkan dengan merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 7.2 peratus.

Beliau berkata, pada tahun 2023, pertumbuhan KDNK negeri dijangka turut merekodkan pertumbuhan positif meskipun berhadapan pelbagai cabaran.

"Prestasi positif ekonomi Kedah antara lainnya disumbang oleh ekosistem pelaburan yang menarik dan berdaya maju yang menjadikan Kedah terus kekal menjadi pilihan pelabur dalam dan luar negara.

"Kedah merekodkan jumlah pelaburan pada tahun 2023 antara yang tertinggi dalam negara berjumlah RM 28.7 bilion yang menjana 9,761 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.

Beliau memaklumkan, projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Koridor Bandar Sempadan di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap, Pembangunan Kedah Aerotropolis di daerah Kuala Muda, Bandar Teknologi di daerah Kulim serta Pembangunan Tenaga dan Pelabuhan di daerah Yan akan terus menjadi keutamaan Kedah dalam usaha mengukuhkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

"Di sebalik tekad untuk merancakkan ekonomi melalui perancangan nod-nod pembangunan utama negeri, Kedah akan terus berperanan memastikan keterjaminan bekalan makanan mencukupi dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM9.52 juta meliputi projek peningkatan hasil tanaman padi (luar jelapang), pembangunan industri ternakan, industri tanaman ladang dan buah-buahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sanusi menambah, Kedah telah memohon insentif berbentuk fiskal supaya dapat diimbangi dengan desakan pembangunan berterusan melibatkan kawasan tanaman padi atas komitmen menjamin keselamatan makanan negara khususnya bekalan beras.

Beliau mendapati, permohonan ini telah diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan dan diharapkan ia membuahkan hasil setelah sekian lama diperjuangkan.

Sanusi berkata, pelbagai inisiatif juga dirintis dan dilaksanakan demi memastikan Kedah berada di landasan yang tepat untuk menjadi The Greater Kedah dengan memanfaatkan seluruh potensi dan sumber yang ada.

"The Greater Kedah sebagaimana diilhamkan Tuanku melalui titah diraja adalah sebuah gagasan besar negeri melibatkan seluruh aspek-aspek berkepentingan negeri untuk generasi hari ini serta generasi akan datang bergerak ke hadapan dan melangkaui batas masa.

"Aspek-aspek ini akan diberi perhatian secara khusus dan terancang melalui penyediaan sebuah bluerprint The Greater Kedah," katanya.

Menurut beliau, usaha ini bermula dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Pelan Strategik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang julung kalinya diperkenalkan dengan menggariskan pelbagai inisiatif serta strategi dalam merencana pembangunan ekonomi Kedah dan kesejahteraan rakyat jelatanya.

Sanusi berkata, Kedah dikurniakan kekayaan khazanah warisan dan budaya, biodiversiti, geologi serta arkeologi yang menjadi keunikan dan daya tarikan kepada pelancong.

"Sehubungan itu, Kedah sedang menggiatkan usaha menyemarakkan industri pelancongan melalui Tahun Melawat Kedah 2025.

"Kempen ini telah dilaksanakan dengan membuat persiapan rapi bagi memastikan ketersediaan infrastruktur baik untuk dinikmati oleh pelancong yang datang ke Kedah," katanya.

Tambah beliau, Kedah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk menambahbaik prasarana pelancongan sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Kedah 2025 khasnya dan Tahun Melawat Malaysia 2026 amnya.

"Kelestarian alam sekitar juga sentiasa menjadi agenda utama Kedah untuk memastikan khazanah yang tidak ternilai ini kekal terpelihara demi kelangsungan hidup generasi kini serta yang akan datang dan ia menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan untuk terus subur," katanya.

Menurut Sanusi, antara usaha dilaksanakan adalah memperkenalkan konsep Geotourism melalui Program Jejak Geopark.

Beliau berkata, ia melibatkan Geopark Global UNESCO Langkawi dan Jerai Geopark akan dipromosikan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri.

"Selain itu, Kedah juga telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai pulau pelancongan yang terbersih di dunia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!