'Luluskan insentif fiskal RM200 juta kepada Kedah kerana kekalkan kawasan padi' - Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-82 di Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
Sultan Sallehuddin bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-82 di Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan meluluskan permintaan insentif fiskal berjumlah RM200 juta kepada Kedah seperti diminta sebelum ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, insentif itu adalah sebagai mekanisme timbal balik berikutan Kedah mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi, yang menyumbang 43 peratus Tahap Sara Diri Beras Negara.

Baginda bertitah, Kedah kehilangan potensi pembangunan selain pertanian yang boleh menjana hasil negeri yang lebih tinggi.

"Oleh itu, insentif fiskal ini dilihat dapat mengimbangi hasil dan perbelanjaan Kedah pada masa hadapan terutama bagi membangunkan bidang sosioekonomi.

"Melalui pemberian insentif ini, kerajaan negeri dapat menyediakan program bantuan kepada golongan miskin dalam kalangan petani dengan membantu anggota isi rumah menambah pendapatan keluarga," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-82 di Istana Anak Bukit pada Ahad.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Titah baginda lagi, kerajaan negeri juga dapat menyediakan bantuan pendidikan yang lebih sempurna serta melengkapkan keperluan asas dan akhirnya membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan hidup.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sallehuddin bertitah, pemberian insentif itu juga boleh digunakan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi seperti menyediakan lebih banyak kawasan perniagaan kepada golongan peniaga dan penjaja kecil.

Sultan Sallehuddin turut meminta senarai permintaan yang dibentangkan kerajaan negeri terutama bagi melaksanakan projek pembangunan di Kedah mendapat perhatian kerajaan Persekutuan untuk tindakan segera.

"Semoga usaha Kedah untuk mensejahterakan rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi negeri akan dapat dilaksanakan terutamanya melalui permintaan insentif fiskal pengekalan kawasan Jelapang Padi bagi tujuan pembangunan serta penyediaan rumah kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda disembah maklum Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah membentangkan senarai 'wishlist' projek pembangunan di Kedah kepada Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah pada 4 Mei lalu.

"Dari perspektif ekonomi serantau, beta turut disembah maklum tentang kerancakkan pembangunan bandar sempadan antara Malaysia dan Thailand melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

"Misalnya, pembinaan jalan raya baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam Bukit Kayu Hitam dan ICQ Sadao," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyarankan kerajaan Persekutuan memperkasakan pembangunan bandar sempadan memandangkan hampir 50 peratus kawasan di Zon Ekonomi Khas Sempadan Bukit Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City (KRC), masing-masing diterajui NGX iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan Yang Diperbadankan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

Bagaimanapun, Sultan Sallehuddin bertitah, baginda merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang berusaha sebaik mungkin menyediakan pelbagai inisiatif bagi menangani soal kemiskinan yang turut dimanfaatkan rakyat Kedah.

"Beta menghargai keprihatinan Perdana Menteri terutamanya mengenai kemiskinan tegar berjumlah 1,750 keluarga di Kedah untuk disantuni dalam tempoh yang singkat.

"Beta disembah maklum yang sehingga kini, ia telah berjaya dikurangkan sebanyak 77 peratus kepada 404 keluarga," titah Sultan Sallehuddin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!