Jaga alam semula jadi, kekal kelestarian alam sekitar - Raja Muda Kedah

Tengku Sarafudin membaca titah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
Tengku Sarafudin membaca titah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mengingatkan seluruh rakyat di Kedah supaya mempunyai kesedaran tinggi dengan sentiasa menjaga kepentingan dan kebersihan alam semula jadi serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Tengku Sarafuddin bertitah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sentiasa mengambil prihatin akan isu-isu alam sekitar.

Baginda bertitah, ayahanda baginda telah menitahkan supaya semua pihak berwajib haruslah menitikberatkan kelestarian alam sekitar dan kepentingan hutan Ulu Muda pada Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 4 Mac lepas.

"Setiap teguran perlu diambil tindakan dengan pantas oleh pihak berkenaan kerana hutan Ulu Muda merupakan kawasan sumber tadahan air yang utama untuk kegunaan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Selain itu, ia menjadi sebagai destinasi ekopelancongan," titah baginda pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.

Titah baginda lagi, Kedah juga terkenal melalui pengiktirafan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark sejak tahun 2007 dan turut menerima pengiktirafan Jerai Geopark di peringkat kebangsaan sejak tahun 2017.

"Geopark merupakan wawasan pembangunan lestari iaitu pendekatan yang menggabungkan pemuliharaan sumber warisan alam, pembangunan pelancongan untuk merangsang aktiviti ekonomi masyarakat dan memperkasa sosioekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat setempat," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berpandangan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terus diperkasakan bagi mengekalkan pengiktirafan geopark di Kedah dan mempertingkat kelestarian alam sekitar di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Tengku Sarafudin turut mengajak seluruh rakyat Kedah agar sama-sama mendoakan kepada rakyat Palestin yang sedang diuji oleh ALLAH SWT dan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia dilakukan Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

"Marilah bersama-sama kita berdoa semoga rakyat Palestin akan menerima pembelaan yang sewajarnya dan akhirnya bebas daripada cengkaman kuasa Zionis," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!