Sasar Langkawi jadi pulau pelancongan terbersih dunia

Sultan Sallehuddin diiringi Sultanah Maliha berangkat ke sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-82 di Istana Anak Bukit, pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
Sultan Sallehuddin diiringi Sultanah Maliha berangkat ke sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-82 di Istana Anak Bukit, pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyokong langkah proaktif digerakkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyasarkan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang terbersih di dunia.

Sehubungan itu, baginda bertitah, aspek kebersihan dan keindahan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik serta menjadi agenda penting setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Sultan Sallehuddin bertitah, usaha itu bagi memastikan inisiatif kerajaan dapat direalisasikan dengan jayanya.

"PBT lain juga perlu memastikan kebersihan dan keindahan persekitarannya dijaga dan dipantau dengan lebih efisyen agar menjadi sebuah bandar bersih.

"Beta juga ingin menyarankan kerajaan negeri dapat memupuk budaya hidup sihat serta persekitaran bersih bagi menjamin kesejahteraan serta kesihatan kepada seluruh rakyat Kedah," titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-82 di Istana Anak Bukit pada Ahad.

Berangkat sama, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut menyambut baik inisiatif Kedah yang akan melancarkan TMK 2025 bagi meletakkan Kedah sebagai destinasi pelancongan unggul dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Baginda berharap agar jabatan dan agensi berkaitan memastikan semua kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan berada dalam keadaan lengkap dan sempurna untuk menerima kehadiran pelancong.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!