6 ahli Parlimen Bersatu serah surat kepada Speaker

Syed Abu Hussin
Syed Abu Hussin
A
A
A

TAIPING - Enam ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Perdana Menteri sudah menyerahkan surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan notis pengosongan kerusi yang dihantar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, surat tersebut dihantar pada 27 Jun lalu sebagai memaklumkan kepada Speaker bahawa tindakan yang diambil Bersatu tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Speaker yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan itu perlu mendapatkan pandangan yang jelas daripada enam ahli Parlimen berkenaan.

"Tujuan saya membuat sidang akhbar ini supaya rakyat dan masyarakat juga dapat memahami sikap kami dan pendirian kami. Selama ini, kami tidak respons kerana hendak melihat apa sebenarnya yang akan berlaku dan akhirnya senarai nama kami telah dikeluarkan daripada senarai ahli parti Bersatu.

"Parti Bersatu telah membuat satu tindakan seolah-olah memerangkap dan menganiaya kami. Kerana mengikut pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti, ada tiga suasana yang boleh menyebabkan ahli Parlimen berkenaan kena kosongkan kerusi," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini pada Ahad.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, tiga peruntukan undang-undang tersebut berada di bawah Perkara 49A(1)(a)(i), Perkara 49A(1)(a)(ii) dan Perkara 49A(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, dalam ketiga-tiga suasana yang termaktub di dalam perkara tersebut tidak langsung terpakai terhadap enam orang ahli Parlimen tersebut.

Jelasnya, kesemua ahli Parlimen berkenaan tidak pernah melepaskan keanggotaan parti dan tidak pernah membuat keputusan berhubung keahlian di dalam parti.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebaliknya Bersatu yang membuat keputusan berlaku pengosongan kerusi dengan meminda perlembagaan parti itu.

Sementara itu, Syed Abu Hussin turut yakin bahawa Speaker Dewan Rakyat akan meneliti surat yang dihantar sebelum membuat keputusan berkenaan.

Pada 20 Jun lalu, Bersatu menerusi satu kenyataan memberitahu notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen mereka telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!