PRK Nenggiri: UMNO Gua Musang senarai 3 nama

Gambar dari kiri: Mohd Azmawi Fikri, Amran, Nor Fadzlete Aryani
Gambar dari kiri: Mohd Azmawi Fikri, Amran, Nor Fadzlete Aryani
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Gua Musang menyenaraikan tiga nama untuk dinilai kepimpinan parti sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti.

Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan UMNO Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Ketiga-tiga nama itu dikatakan diputuskan dalam mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang pada Sabtu dan akan dibawa pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada Ahad malam.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan bagi pemilihan calon berkenaan.

“Malam ini kami akan bermesyuarat untuk gerak kerja PRK DUN Nenggiri.

“Semestinya calon tempatan yang boleh berkhidmat kepada penduduk setempat akan dipilih, namun terserah kepada pucuk pimpinan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Pada Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini untuk hari pengundian, 3 Ogos untuk penamaan calon dan 13 Ogos untuk pengundian awal.

DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 19 Jun lalu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim kehilangan keahlian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!