Pencapaian bukti Kedah potensi tarik peluang pelaburan

Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah merekodkan pencapaian pelaburan dan ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 bermula sejak 2021 melebihi RM100 bilion.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, pencapaian itu membuktikan bahawa Kedah amat berpotensi untuk menarik peluang pelabur datang melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di negeri ini.

"Prinsip 'ease of doing business' yang diketengahkan kerajaan negeri seperti Permit Pembinaan Ekspres E10 dan proses Ubah Jenis Kegunaan Tanah, yang pantas turut menjadi tarikan utama pelabur memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal diharap sentiasa komited meneruskan momentum ini supaya ia dapat memberi kesan kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi serta taraf hidup rakyat Kedah," titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-82 di Istana Anak Bukit pada Ahad.

Berangkat sama, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sultan Sallehuddin juga berharap kerajaan negeri memanfaatkan sumber alam semulajadi yang ada seperti kawasan perairan laut dan sungai yang dapat diterokai peluang pelaburan dalam ekonomi biru seperti bidang akuakultur, selain ekonomi hijau dalam bidang bio-diversiti.

"Kedua-dua bidang ini dapat memenuhi keperluan Sutainable Development Goals 2030 yang sentiasa menjadi agenda kerajaan ke arah kemampanan dan kemakmuran sejagat di seluruh dunia," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sultan Sallehuddin menzahirkan kegembiraan apabila Kedah memperuntukkan sejumlah RM11.6 juta pada tahun ini untuk menyediakan pelbagai bentuk program bantuan di bawah Program Bantuan Kedah Sejahtera dalam usaha ke arah kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah.

"Usaha ini dapat menyemai prinsip perpaduan dan keharmonian sesama bangsa melalui program bantuan kepada golongan yang memerlukan merentasi semua kaum yang ada di negeri ini.

"Oleh demikian, beta menyeru kepada semua rakyat untuk memelihara jalinan perpaduan yang telah lama wujud ini demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat di Kedah," katanya.

Sultan Sallehuddin turut menyarankan agar kerajaan negeri berusaha membangunkan belia negeri Kedah secara holistik yang selari dengan tuntutan agama dan budaya bangsa.

Titah baginda, pembangunan belia perlulah sentiasa dititikberatkan sebagai persediaan masa hadapan selari dengan jangkaan negara Malaysia yang sedang menuju sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila 15.3 peratus daripada penduduk negara akan berusia melebihi 60 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!