PRK enam Parlimen tidak akan ubah kerajaan - Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin
Syed Abu Hussin
A
A
A

TAIPING - Pilihan Raya Kecil (PRK) yang mahu diadakan di enam kerusi Parlimen tidak akan mengubah kerajaan sedia ada.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berpendapat, jika Perikatan Nasional (PN) memenangi semula kerusi berkenaan, Kerajaan Perpaduan tetap kekal memimpin negara.

Menurutnya, jika PRK itu berlaku ia hanya akan membazirkan masa dan wang negara semata-mata.

"Pandangan saya PRK ini akan membuang masa dan juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Kita ada masa lagi untuk membuat perhitungan. Kita bagi khidmat yang terbaik. Sampai PRU (pilihan raya umum) kita serah pada rakyat untuk buat pilihan.

"Sekarang ini kalau kita buat kecoh negara tak stabil. Pihak pembangkang akan mencari kesalahan ataupun mencari isu-isu yang sebenarnya kadang-kadang tidak betul. Ini akan memuakkan rakyat dan ekonomi tidak dapat dikawal dengan baik," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini pada Ahad.

Syed Abu Hussin berkata, tumpuan ketika ini seharusnya diberikan ke arah usaha mensejahterakan rakyat dengan membantu mengurangkan kos sara hidup dan memberi lebih banyak bantuan.

Syed Abu Hussin (kiri) berbincang sesuatu dengan pegawainya selepas sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang pada Ahad.
Syed Abu Hussin (kiri) berbincang sesuatu dengan pegawainya selepas sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang pada Ahad.

Katanya, sebab itulah cadangan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan jualan termurah untuk rakyat dan ia diterima walaupun dari parti yang berlainan.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil kesempatan untuk menyeru cukup-cukuplah Perikatan Nasional. Berilah sokongan kepada Perdana Menteri untuk membangunkan negara.

"Gunakan kesempatan ini untuk mencari peruntukan bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing mendapat perhatian yang sepatutnya daripada ahli Parlimen," katanya.

Sementara itu, Syed Abu Hussin turut mengulangi pendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan jika berlaku PRK di kawasan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun sebarang keputusan lanjut mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pada 20 Jun lalu Bersatu menerusi satu kenyataan memberitahu notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen mereka telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!