MMA gesa kerajaan segera wartakan peraturan kawalan industri vape

MMA gesa kerajaan segera mewartakan peraturan untuk mengawal selia industri vape. Gambar kecil: Dr Azizan
MMA gesa kerajaan segera mewartakan peraturan untuk mengawal selia industri vape. Gambar kecil: Dr Azizan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan segera mewartakan peraturan untuk mengawal selia industri vape bagi memastikan produk berkenaan tidak dipromosi atau dibeli golongan bawah umur.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, langkah segera itu perlu diambil susulan terdapat kes mangsa dikaitkan dengan kesan pengambilan rokok elektronik itu termasuk kecederaan kepada paru-paru yang turut dilaporkan melibatkan kanak-kanak.

“MMA mahu kerajaan mempercepatkan pewartaan peraturan ini. Difahamkan bahawa draf peraturan tersebut telah siap sejak hujung tahun lalu, namun sehingga kini belum ada sebarang berita mengenainya dan kita harap penjelasan diberikan oleh pihak kerajaan.

“Kami juga merayu kepada semua ahli Parlimen untuk bersikap tegas dalam isu kritikal ini dengan memberi tekanan kepada kerajaan untuk segera memuktamadkan dan melaksanakan peraturan ini.

“Ini kerana, ahli Parlimen memainkan peranan penting dalam memastikan masa depan yang lebih baik kepada generasi muda. Kesihatan dan kesejahteraan belia harus menjadi keutamaan, melangkaui kepentingan politik.

“Pihak kami juga mengharapkan sokongan semua ahli Parlimen dalam menangani isu yang mendesak ini, selain bersedia untuk bekerjasama membendung penggunaan vape ini bagi melindungi generasi muda daripada terkesan bahaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Mac lalu melaporkan sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas.

Selain itu, terdapat juga laporan beberapa kes antaranya seorang kanak-kanak di Bera, Pahang disyaki mengalami keracunan nikotin akut dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti vape jenis pakai buang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MMA melalui kenyataan sama turut menggesa tiga tindakan segera yang diperlu ambil antaranya menghadkan penjualan dan promosi produk vape berhampiran institusi pendidikan bagi mengekang pembabitan golongan muda dalam industri tersebut.

Turut didesak supaya diambil tindakan segera ialah dengan melaksanakan peraturan iklan dan pembungkusan yang ketat bagi mengelak ia menjadi sasaran golongan muda.

“Desakan ketiga ialah segera perketat penguatkuasaan untuk membendung amalan jualan vape dan pemasaran yang menyalahi undang-undang agar ia tidak boleh dibeli oleh mereka yang berumur di bawah 18 tahun,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!