Kedah bangunkan Kampung Tersusun

Muhammad Sanusi (dua kanan) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
Muhammad Sanusi (dua kanan) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto Pejabat SUK Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengambil inisiatif membangunkan Kampung Tersusun di seluruh Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lot tanah berkeluasan 372 meter persegi disediakan kepada golongan miskin dan yang memerlukan tanah bagi tujuan membina rumah kediaman.

Katanya, hasrat membangunkan Kampung Tersusun ini turut mendapat perhatian khusus kerajaan Persekutuan dalam agenda menoktahkan kemiskinan dan membantu golongan tidak berkemampuan.

"Dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan ini adalah satu manifestasi kepada usaha dan ikhtiar Kedah untuk memakmurkan dan menyejahterakan rakyat jelata.

"Ia tidak mungkin dapat dizahirkan tanpa limpah kasih Raja Pemerintah berjiwa rakyat, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menjadi kesayangan segenap lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, sebanyak RM18.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembangunan terdiri daripada Projek Pembangunan Pembaikan Rumah Keluarga Miskin dan Perumahan Awam, Projek Pembangunan Prasarana Desa dan Ameniti Sosial serta menaik taraf prasarana KedahNet pada 2024.

Tambahnya, turut dilaksanakan ialah projek membina dan menaik taraf pejabat dan kediaman rasmi penghulu serta pembinaan ruang niaga di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Sanusi, tumpuan turut diberikan dengan memperkemas prasarana menerusi program menaik taraf dan menyelenggara masjid serta surau dan juga memperkasa institusi pengajian Islam.

Katanya, ia melibatkan Universiti Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar), Lembaga Maktab Mahmud, sekolah agama dan tadika Islam yang berdaftar melalui peruntukan tahunan yang disediakan.

"Majlis-majlis ilmu dipergiatkan di masjid dan surau di setiap pelosok negeri ini.

"Selain itu, Kempen Program Bulan Solat dan Penghayatan Al-Quran telah dilancarkan dan Festival Al-Quran turut diadakan yang telah menarik puluhan ribu hadirin," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!