PRK Nenggiri: UMNO dedah sudah ada senarai nama calon

Ahmad Zahid sejurus tiba untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran pada Ahad. Foto Bernama
Ahmad Zahid sejurus tiba untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

MARAN - UMNO mendedahkan terdapat beberapa nama yang akan menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang disenarai pendek itu memenuhi tiga kriteria ditetapkan iaitu kebolehmenangan, kebolehterimaan dan tokoh yang disukai pengundi tidak kira daripada parti mana.

"Saya fikir nama-nama yang telah senarai pendek itu memenuhi kriteria terbabit dan saya cuma perlukan kelulusan daripada biro politik UMNO sebelum diumumkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran pada Ahad. Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran pada Ahad. Foto Bernama

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah PRK itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan perhubungan UMNO negeri Kelantan bagi memilih calon bertanding.

Jelasnya, keputusan yang diperoleh itu nanti akan dibawa ke mesyuarat biro politik Malaysia untuk dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah arahkan BN (Barisan Nasional) Kelantan dan juga perhubungan UMNO negeri untuk gerakan jentera seluruh negeri Kelantan untuk berada di Nenggiri.

"Saya yakin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan membantu calon UMNO yang mewakili BN nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!