Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC cecah RM50,000

Kutipan setakat jam 6.30 petang, Sabtu. Najwan (kiri).
Kutipan setakat jam 6.30 petang, Sabtu. Najwan (kiri).
A
A
A

TABUNG Solidariti Bersama Selangor FC yang dibuka sejak Rabu lalu akan ditutup pada 2 Julai depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, lebih RM50,000 terkumpul setakat jam 6.30 petang Sabtu.

Menurutnya, wang terkumpul itu akan diserahkan 100 peratus kepada Selangor FC.

"Jumlah sumbangan diterima setakat jam 6.30 petang Sabtu adalah sebanyak RM50,248.52.

"Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC.

"Kepada yang berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh scan pada kod QR disediakan," menerusi perkongsian di Facebook.

Tabung tersebut ditubuhkan sebagai tanda solidariti terhadap pasukan bola sepak Selangor yang dikenakan denda RM100,000 oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas ketidakhadirannya ke Perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Penarikan diri pasukan merah kuning dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim itu atas faktor keselamatan susulan kejadian simbah asid menimpa Faisal Halim.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama dan memberi peluang kepada semua pihak termasuk peminat merah kuning untuk mengumpul dana bagi membayar denda yang dikenakan.

Bagaimanapun, MFL telah mengurangkan hukuman yang dikenakan daripada RM100,000 kepada RM60,000 terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!