PH kehabisan modal, hilang arah - Mohd Syahir

Hantaran Mohd Syahir di aplikasi X.
Hantaran Mohd Syahir di aplikasi X.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) didakwa kehabisan modal, hilang arah dan kepercayaan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang sedang hangat berlangsung kini, dakwa Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Kenyataan terbaharu itu dibuat Mohd Syahir menerusi hantaran di aplikasi X dipercayai merujuk laporan berita mengenai Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

"Seminggu di Sungai Bakap, Perikatan Nasional (PN) jentera berfokus, kempen bersasar.

"PH, jentera lesu, kempen tersasar," katanya pada Ahad.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilapor berkata, PN diibaratkan seperti sudah 'hilang punca' atau modal untuk menyakinkan pengundi DUN Sungai Bakap supaya menyokong mereka dalam kempen PRK kawasan itu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, ia adalah hasil dapatan yang diterima beliau dari lapangan, selepas seminggu kempen PRK itu berjalan.

Sementara itu, Mohd Syahir dalam satu lagi hantaran di media sosial sama turut menyindir Rafizi berhubung isu air di kawasan berkenaan.

Menerusi laporan berita yang turut dimuat naik bersama hantaran tersebut, Rafizi mempersoal peranan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyandang jawatan Menteri Air dan Alam Sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Isu air Sungai Bakap. Rafizi tuduh Datuk Seri Tuan Ibrahim (tapi) Ketua Menteri Pulau Pinang tolong jawabkan," katanya.

Ujar Mohd Syahir, isu mengenai air memerlukan usaha kolektif antara negeri dan persekutuan, bukan dijadikan bahan politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!