Isu Pangsapuri Lily Jasmine akan dibawa ke Parlimen
JOHOR BAHRU – Pusat Khidmat Parlimen Pulai akan membawa isu pemotongan air di Pangsapuri Lily Jasmine, di sini dalam sidang Parlimen termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
Menurut Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, masalah berkenaan melibatkan isu tunggakan bil air yang tidak dijelaskan terutamanya pada musim Covid-19 sebelum ini.
"Ada tunggakan sebanyak RM1.1 juta yang ada kaitan dengan bayaran tak dijelaskan terutamanya masa musim Covid-19 dan sekarang ditambah pula dengan satu lagi masalah iaitu kebocoran paip air di bawah tanah.
“Pihak pengurusan dah banyak kali berusaha untuk baiki tetapi setiap kali dibaiki, masalah (kebocoran) tersebut jadi bertambah serius khususnya melibatkan aliran air di bawah tanah.
“Bila dikira, kosnya melibatkan RM2 juta untuk perbaiki keseluruhan paip,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.
Untuk rekod, pihak Ranhill SAJ bertindak membuat pemotongan air di pangsapuri berkenaan dua hari lalu.
Sementara itu, Suhaizan berkata, pihaknya juga akan berunding dengan kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri bagi membantu isu tersebut.
Justeru katanya, dia masih perlu membuat kajian berhubung perkara tersebut dalam usaha mencari masalah pokok berhubung tunggakan berkenaan.
“Kali pertama SAJ potong sebab tak bayar tunggakan terlalu besar. Kita runding dengan SAJ untuk selesaikan secara sementara dengan bayaran tertentu... kita pun bantu sikitlah.
“Sekarang dah kali kedua. Sebab dah lambat bayar, kita runding sekali lagi dengan SAJ untuk bantu, SAJ mintak bayaran RM30,000 untuk bantu masalah kebocoran paip,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!