Keluarga Allahyarham Yazit Search terima sumbangan RM10,000
KELUARGA kepada bekas pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad menerima sumbangan sebanyak RM10,000 sempena penganjuran Konsert Search ‘Gemuruh’ yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Penyampaian sumbangan cek tunai bernilai RM5,000 disampaikan oleh wakil Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi Setiausaha Politiknya, Izhar Yusof.
Penaja konsert, Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Mobile bersama penganjur, Big Stage Entertainment turut menyampaikan cek bernilai RM5,000 kepada keluarga Allahyarham Yazit yang diwakili isteri, Ramlah Ahmad dan anak ketiga, Shafiqa Nurlis.
Konsert yang menampilkan Amir Masdi sebagai vokal utama turut bergandingan dengan dua pemain gitar, Nordin Mohd Taib dan Hamzah Mohd Taib yang lebih mesra dengan panggilan Din serta Kid, selain pemain dram, Min dan pemain bass Barbarik, Rozaimie.
Acara istimewa itu turut menampilkan jemputan khas termasuk Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle, Rozario Rasul, Ujang Exist, Fly Halizor dan Jovita Pearl (X Factor Indonesia).
Konsert Search ‘Gemuruh’ bermula jam 8 malam itu mempersembahkan 16 lagu tanpa henti di hadapan ribuan peminat mereka.
Rangkaian lagu popular dipersembahkan oleh kumpulan tersohor tanah air itu berjaya memukau para penonton, malah ada yang turut menyanyi sambil menyalakan lampu di telefon bimbit masing-masing sebagai tanda menghayati persembahan diberikan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!