UMNO Bukit Gantang sudah ada calon
TAIPING - UMNO Bahagian Bukit Gantang sudah pun memilih seorang calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang.
Ketuanya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO bahagian itu sebulat suara menamakan Naib Ketua UMNO Bahagian, Ahmad Saidi Mohamad Daud sebagai calon tunggal.
Jelas beliau, Ahmad Saidi dipilih kerana Jawatankuasa UMNO Bahagian sudah membuat ketetapan bahawa individu itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
"Kita akui tidak ada persiapan khas untuk hadapi PRK ini tetapi semenjak angin ini bertiup kencang, kita sudah buat keputusan di Biro Politik jika berlaku kekosongan kerusi, UMNO akan meletakkan calon untuk bertanding. Itu pendirian UMNO Bahagian Bukit Gantang.
"Kita calon tempatan dan kita telah bersetuju menamakan seorang sahaja nama daripada UMNO bahagian iaitu Ahmad Saidi Mohamad Daud tetapi ia tetap terpulang kepada pucuk pimpinan parti," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bukit Gantang di Dewan UMNO Bukit Gantang di sini pada Ahad.
Mohammad Sollehin berkata, tindakan menamakan calon lebih awal itu dibuat bagi menguji keupayaan individu berkenaan selain mengelak berlaku sabotaj dan sebagainya.
Ditanya sama ada kemungkinan UMNO akan memberi ruang kepada penyandang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk bertanding semula pada PRK nanti, beliau menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.
Menurutnya, kerusi berkenaan milik UMNO dan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi harus menghormati keputusan dibuat UMNO Bahagian Bukit Gantang.
"Kalau Datuk Syed nak bertanding atau mimpi ngeri itu berlaku, saya boleh kata kita UMNO Bukit Gantang, kita berehat sahajalah. Apa nak buat, sebab kita tidak boleh terima pengkhianat.
"Kalau orang atas boleh terima, mereka terimalah. Saya Ketua UMNO Bahagian, saya tidak akan terima keputusan seperti ini untuk tolong kempen calon yang pernah khianati parti," katanya.
Ahmad Saidi sebelum ini pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering pada PRU14 dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.
Bagaimanapun beliau tewas di kerusi yang sama pada PRU15 lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!