Kebebasan bersuara bukan 'lesen' semai kebencian

Manivanan
Manivanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kebebasan bersuara bukan menjadi 'lesen' kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan tohmahan dan kenyataan tidak berasas hingga mengganggu gugat demokrasi negara.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin berkata, penganjuran 'Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu membuktikan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan ruang demokrasi yang sihat.

"Walaupun sambutan terhadap demonstrasi tersebut tidak begitu menggalakkan, namun perlu diingatkan bahawa kebebasan bersuara mesti diiringi dengan sikap bertanggungjawab dan penganjur juga perlu mematuhi semua peruntukan undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Pada masa yang sama, ucapan menghasut, memfitnah dan menghina pimpinan negara termasuk Perdana Menteri tidak boleh diterima.

"Ini kerana tindakan sedemikian bukan sahaja merosakkan reputasi individu, tetapi juga mencemarkan suasana harmoni dan demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.

"Saya juga yakin Kerajaan Madani komited mendengar pandangan rakyat dan sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina kerana setiap pandangan yang disuarakan dengan adil dan beretika boleh menyumbang kepada proses pembangunan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, sekumpulan individu berbaju hitam mengadakan perhimpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’.

Kumpulan itu mendesak Perdana Menteri menunaikan lapan tuntutan antaranya menurunkan semula harga diesel dan mengembalikan bekalan beras putih tempatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Manivanan yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR berkata, semua pihak seharusnya menggalakkan budaya diskusi yang sihat berpaksikan sikap saling menghormati dan bertanggungjawab.

Tambahnya, setiap perbincangan atau kritikan terbuka juga perlu dipastikan tidak menyentuh sentimen 3R iaitu kaum, agama dan raja demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan keamanan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!