Pelajar 10A ke atas semua kaum diberi ruang di matrikulasi - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

BUKIT JALIL - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan hasil perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

"Kalau ada anak-anak yang mencatat kejayaan 10A atau lebih untuk semua aliran sekolah di negara kita, maka keputusan kita tanpa kecuali semua mereka dari semua kaum dan wilayah harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.

"Saya tidak mahu meneruskan ini sebagai isu kaum lagi. Cuma saya tekankan keputusan ini keputusan yang berani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam pada itu, menurut Anwar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama bagi memperincikan perkara tersebut dari segi pelaksanaan dan kaedah dalam masa terdekat.

"Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pengajian. Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk manfaat semua pelajar terpelihara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!