'Jumpa Tun M bukan nak masuk PH' - Abdul Hadi

Tun M, Hadi
Tun M, Hadi
A
A
A

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak berhasrat memohon jawatan dalam barisan Kabinet kerajaan, susulan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.

Abdul Hadi berkata, pertemuan disertai bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu juga tidak membincangkan isu politik sebagaimana didakwa segelintir pihak.

“Saya jumpa dengan semua perdana menteri, masa dia (Tun M) jadi perdana menteri dan tidak jadi menteri pun saya jumpa, tiada apa-apa kepentingan pun termasuk sekarang.

“Bukan saya mahu minta masuk dalam Kabinet, kita pergi bukan minta nak masuk kerajaan, tidak payah rungsinglah. Kita tidak masuk campur urusan lain dan kita tiada hasrat nak masuk PH.

“Kita minta hal lain, urusan negeri yang kita perintah. Lebih kepada urusan kerajaan negeri dengan Pusat dan hubungan kepentingan Islam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila selepas menyampaikan kuliah mingguan hari ini.

Ditanya kesediaan beliau berjumpa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan mahu bertemu dengannya, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan bahawa beliau boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja jika perlu.

“Saya jumpa dengan orang bila perlu, kalau tiada keperluan saya tidak jumpa. Saya anggap perlu baru saya jumpa,” katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi pertemuan Abdul Hadi dan Dr Mahathir adalah bagi membincangkan strategi bagi mengubah landskap politik negara.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk berjumpa dengan semua pihak termasuk Abdul Hadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!