Tumpahan minyak: Kerajaan Johor tidak bercadang saman syarikat kapal Belanda

Pencemaran terbaharu dikesan di Pulau Che Kamat, Sungai Rengit.
Pencemaran terbaharu dikesan di Pulau Che Kamat, Sungai Rengit.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor tidak bercadang untuk menyaman syarikat kapal dari Belanda yang melanggar kapal tangki minyak milik Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada 14 Jun lalu hingga menyebabkan pencemaran di kawasan perairan sempadan Malaysia-Singapura.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, ini kerana syarikat asing terbabit akan membayar jumlah kerugian kepada semua nelayan yang terjejas dengan pencemaran tersebut termasuk kos kerja-kerja pembersihan.

"Ketika ini Jabatan Perikanan sedang melakukan siasatan bilangan nelayan yang terkesan dan layak mendapat pampasan termasuk jumlah kerugian dialami. Jumlahnya sedang dibincangkan.

"Kita tidak akan mengikut langkah kerajaan Singapura yang bercadang menyaman pihak terlibat kerana kawasan perairan kita yang terjejas tidak teruk seperti di Singapura. Lagipun syarikat tersebut menerusi pihak insurans mereka sedia bayar pampasan dan menanggung semua kos kerja-kerja pembersihan," katanya.

Tian Soon (kiri) ketika hadir menyempurnakan majlis penutupan Kempen Saringan Diabetes di Recency Specialist Hospital, Southkey pada Ahad.
Tian Soon (kiri) ketika hadir menyempurnakan majlis penutupan Kempen Saringan Diabetes di Recency Specialist Hospital, Southkey pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan Kempen Saringan Diabetes di Recency Specialist Hospital, Southkey di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, media melaporkan hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut akibat kesan tumpahan minyak.

Situasi itu ekoran sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang.

Artikel Berkaitan:

Tumpahan sisa minyak dikesan di Pantai Che Kamat, Sungai Rengit, Pengerang.
Tumpahan sisa minyak dikesan di Pantai Che Kamat, Sungai Rengit, Pengerang.

Keadaan itu menyebabkan kapal tangki minyak yang dilanggar bocor hingga berlaku tumpahan minyak sebanyak 400 tan mengalir ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.

Tian Soon berkata, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di sepanjang pesisir Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi yang bersempadan dengan Singapura sudah siap 100 peratus.

Katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemantauan terhadap proses pembersihan tersebut terutama di kawasan bakau dan permukaan berbatu.

Beliau memberitahu, kerja-kerja pembersihan sehingga kini sudah berjaya mengumpul 43 tan sisa berminyak yang melibatkan dua fasa.

Terkini ujar beliau, pencemaran terbaharu dikesan di Pulau Che Kamat, Sungai Rengit dan kerja-kerja pembersihan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!