11 individu termasuk tiga wanita diberkas curi kabel

Kabel yang dirampas hasil tangkapan beberapa individu yang disyaki aktif mencuri kabel sejak tahun lalu.
Kabel yang dirampas hasil tangkapan beberapa individu yang disyaki aktif mencuri kabel sejak tahun lalu.
A
A
A

AMPANG - Seramai 11 individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kabel telekomunikasi di Jalan Hillview di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sepasukan anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.23 pagi.

"Kita telah mengarahkan pemandu berkenaan memberhentikan kenderaan, namun kereta tersebut memecut laju ke arah Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di sini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, juruteknik dari Telekom Malaysia (TM) yang membuat pemeriksaan mendapati suspek berkenaan disyaki terlibat dalam kes curi kabel.

Antara peralatan yang disyaki digunakan oleh suspek turut dirampas.
Antara peralatan yang disyaki digunakan oleh suspek turut dirampas.

"Kita berjaya menahan dua lelaki berusia 28 dan 24 tahun di Lebuhraya SUKE dan Taman Hillview, Hulu Kelang, pada jam 5.30 pagi serta jam 6.45 pagi, pada hari sama.

"Salah seorang suspek telah bertindak terjun dari kenderaan itu, sebelum diberkas. Hasil pemeriksaan lanjut salah seorang daripada mereka gagal kemukakan dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis memberkas enam lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 17 hingga 33 tahun di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang, pada jam 5 hingga 6.30 petang, Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah merampas 76 batang kabel yang dipotong pelbagai ukuran, empat buah kereta, tiga mesin gerudi, satu mesin kimpal, 10 gulung tali sling, satu kuku kambing, dua besi 'main hole key' dan empat telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Azam berkata, modus operandi suspek adalah mereka menyasarkan kabel TM di bawah tanah.

"Suspek memotong kabel dan menarik dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Siasatan awal mendapati kumpulan yang disyaki aktif mencuri kabel sejak tahun lalu itu terlibat dalam empat kes di Ampang Jaya, dua kes di Shah Alam serta tiga kes di Melaka," ujarnya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati hanya dua suspek positif dadah.

"Semakan lanjut mendapati sembilan suspek mempunyai dua hingga 14 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik," ujarnya.

Menurutnya, suspek pertama dan kedua direman empat hari bermula Jumaat hingga Isnin, manakala sembilan suspek lain juga direman empat hari bermula Ahad hingga Rabu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A akta sama dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!