Malaysia kedua terbaik pentas futsal AUG 2024
TIGA jaringan separuh masa pertama diikuti satu gol babak kedua membolehkan pasukan pilihan Indonesia menyekat hajat Malaysia untuk bergelar Raja Futsal Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 apabila menang 4-1 di Gelanggang Olahraga (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya (UNESA) pada Ahad.
Malah skuad kendalian Addy Shairullyzam yang menyingkirkan juara bertahan Thailand 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 4-4 dilihat gagal menyerlahkan potensi diri masing-masing selepas tuan rumah kehilangan Daffa Azzurri selepas dilayangkan kad merah tiga minit sebelum menuju rehat.
Sebaliknya Indonesia kendalian Deni Setiabudi tanpa khidmat Guntur Sulistyo yang meledak empat gol ketika menjinakkan Timor-Laste, 6-1 di separuh akhir bermula lebih agresif dalam pertarungan memburu kilauan pingat emas itu.
Skuad Garuda menjana gol pertama menerusi percubaan kapten Garuda Dewa Rizki Amanda (minit ketiga) diikuti jaringan Brandyca Piola (m-11) sebelum Rizki menambah gol kedua peribadi minit ke-19.
Separuh masa kedua biarpun beraksi empat pemain tidak mematahkan jentera serangan angkatan Deni Setiabudi menambah gol menerusi Ramadan Zidani minit ke-34, sebelum Muhammad Syarifuddin menghadiahkan gol saguhati minit ke-38 buat Malaysia.
Sebagai rekod dalam aksi Kumpulan A sebelum ini Indonesia menewaskan Malaysia, 3-2 menerusi gol dijanakan Dewa Rizki Amanda, Muhammad Agung Pandega dan Brandyca Piola di Gor Futsal UNESA.
Sementara itu, Thailand merangkul pingat gangsa selepas menewaskan Timor Leste, 7-1 dalam perlawanan penentuan ketiga keempat temasya tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!