Pelajar mengadu sakit perut selepas makan ayam goreng di kantin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat mengarahkan kantin sebuah sekolah di Batu Pahat ditutup dua minggu bermula Jumaat ekoran kes 11 pelajar keracunan makanan selepas makan ayam goreng di kantin tersebut pada Khamis.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, siasatan dan pemeriksaan telah dilakukan di kantin terbabit dan sampel makanan diambil untuk dihantar ke makmal.

"Keputusan ujian dijangka diperoleh dalam dua atau tiga hari lagi. Siasatan masih berjalan dan sepanjang penutupan, pengusaha kantin perlu membersihkan premis," katanya mengulas berhubung laporan mengenai kes keracunan tersebut.

Terdahulu beliau menyempurnakan penutupan Kempen Saringan Diabetes di Regency Specialist Hospital, Southkey di sini pada Ahad.

Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada 27 Jun lalu apabila seramai 90 pelajar dan sembilan tenaga pengajar mengalami keracunan makanan setelah makan ayam goreng di kantin sekolah itu.

Pihak Jabatan Kesihatan Batu Pahat katanya, sudah mengambil langkah susulan dengan memeriksa premis tersebut dan mengambil sampel makanan daripada premis tersebut.

"Kita telah mengambil makanan tersebut untuk dihantar ke makmal untuk kajian sama ada ia menjadi punca keracunan ini berlaku," katanya.

Tian Soon berkata, daripada 99 individu yang terkesan keracunan makanan itu, hanya 11 pelajar menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan atau klinik swasta kerana sakit perut.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan tidak ada antara mangsa yang ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut. Cuma 11 pelajar sahaja yang menjalani rawatan, mereka yang lain mungkin mengalami simptom ringan.

"Ini bukanlah kali pertama kejadian keracunan makanan berlaku yang disyaki berpunca makanan kantin di sekolah," katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!