Judo lulus ujian di Surabaya Malang 2024

Skuad judo yang menggalas cabaran Malaysia di pentas AUG Surabaya Malang 2024.
Skuad judo yang menggalas cabaran Malaysia di pentas AUG Surabaya Malang 2024.
A
A
A

SKUAD judo negara berjaya mempamerkan pencapaian membanggakan selepas bertarung sepanjang empat hari di Pusat Konvensyen Airlangga, Universitas Airlangga pada temasya Sukan Universiti ASEAN Surabaya Malang 2024.

Malah menurut pengurus skuad judo Malaysia ke AUG Surabaya Malang 2024, Wan Eizalie Wan Mohamed Nor, secara keseluruhannya semua 10 atlet melibatkan lima lelaki, lima perempuan berjaya membawa pulang pingat menerusi acara individu dan berpasukan.

“Alhamdulillah, pasukan judo juga telah melepasi sasaran awal dua pingat emas apabila membawa pulang tiga emas, tiga perak dan satu gangsa.

“Lebih membanggakan skuad negara muncul sebagai pasukan kedua terbaik selepas pasukan tuan rumah Indonesia yang mengambil bahagian dalam setiap kategori pertandingan,” katanya.

Pada masa sama, Wan Eizalie menyifatkan kehadiran pengendali skuad kebangsaan Md Nashriq Md Nassir dan Othman Mohd Nizam Yeo juga menyuntik semangat baharu kepada atlet untuk menampilkan aksi terbaik masing-masing.

“Biarpun tempoh masa latihan bersama yang agak terhad, namun atlet-atlet judo negara berjaya memanfaatkan segala teknik Latihan serta tunjuk ajar daripada kedua-dua jurulatih dengan baik.

“Selain itu, aspek disiplin diri tinggi dalam pasukan juga menjadi salah satu kunci kejayaan pasukan judo di pentas AUG 2024 kali ini,” katanya.

INFO

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, kem judo Malaysia di temasya AUG Surabaya Malang 2024 meraih tiga pingat emas menerusi Afiq Danish Zapri dalam kategori Bawah 90 kilogram (kg), Amir Daniel Abdul Majeed (B-81kg) dan Nur Farah Izzati Wallah (B-52kg).

Sementara itu, perak pula diraih Siti Roha Maszuraini menerusi kategori atas 78kg (kg), Muhammad Fareez Mohameid (B-60kg) serta acara berpasukan campuran manakala gangsa disumbangkan Tan Yi Ying (B-73kg).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!